Kesan gelap Asia, Palestin era Trump

PADA 10 Mac lalu, saya beserta 21 politikus, sarjana, penganalisis dan aktivis dari 12 negara dan empat benua telah berbicara dalam satu diskusi dalam talian bertajuk, 'Amerika Syarikat (AS) era Trump dan kesan gelapnya terhadap Asia, Eropah dan Palestin'.
Ia dianjurkan Forces of Renewal Southeast Asia (FORSEA) dan dipengerusikan aktivis Myanmar dalam buangan, Maung Zarni. Seorang lagi peserta Malaysia ialah aktivis Hishamudin Rais.
Saya menyatakan bahawa adalah satu kelaziman bagi pentadbiran baharu sesebuah negara seperti Trump, untuk mengadakan pembaharuan dalam dasar luarnya.
Pada 2018, apabila buat pertama kalinya pentadbiran Malaysia dipegang parti baru iaitu Pakatan Harapan, maka, sebagai Menteri Luar, saya menulis ‘Kerangka Dasar Luar Malaysia Baru’ bagi menjelaskan hala tuju dan pelaksanaan dasar luar pentadbiran baru ini.
Tetapi, dasar luar Malaysia tidak diubah secara drastik. Sebaliknya, kami memilih tema ‘Perubahan dalam Kesinambungan’.
Ini bermakna fundamental dasar luar tidak berubah. Yang berubah ialah beberapa pendekatan, penekanan dan kandungannya sahaja. Kami mengelakkan daripada berlakunya gangguan-gangguan kerana kesannya buruk.
Siapapun mentadbir Malaysia, dasar luar seharusnya sentiasa melibatkan tiga komponen iaitu politik-keselamatan, perdagangan-ekonomi dan identiti (sosio-budaya). Semuanya demi kepentingan negara.
Tetapi Trump mengadakan perubahan radikal, malahan brutal. Ia mengganggu dasar-dasar dan institusi sedia ada, sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Beliau anti-kebebasan, transaksional, membuli, berfaham nasionalisme-pengasingan serta berciri fasisme, imperialisme-kolonialisme, white supremacy, berhaluan kanan dan nazisme.
Apa-apapun tindakan Trump, ia akan sama ada hanya bertahan selama tempoh masa pentadbirannya sahaja atau akan merubah dasar luar AS untuk jangka masa lebih panjang.
Tetapi, apapun yang akan berlaku, sebenarnya, ia berlegar dalam dua kerangka hal ehwal antarabangsa.
Pertama, ialah tingkah laku lima kuasa besar pasca Perang Dunia Kedua. Perancis tidak berkuasa, walaupun adakalanya seakan-akan bersifat adil. United Kingdom (UK) penyokong AS. Rusia mementingkan wilayah pengaruhnya dan sanggup berperang kerananya.
China tiada sejarah berperang dan sekadar menegakkan tempatnya yang wajar sebagai kuasa besar. AS asyik berperang di mana-mana dan menjatuhkan pemimpin/kerajaan asing. Cara-cara Trump selaras dengan tingkah laku AS tersebut.
Kedua, ialah kononnya dunia terbahagi kepada dua kelompok, iaitu liberalisme (kemajuan dan pertumbuhan) dan illiberalisme (regresi dan sekatan).
Tetapi, ironisnya, Trump/AS, yang mendakwa memimpin liberalisme, tetapi menyokong kezaliman genosid Israel ke atas Palestin; menyerang Yaman; menghentam Iran; menekan Kanada, Mexico, Greenland, Ukraine dan Eropah; dan menyokong sejumlah diktator dan autokrat.
Walau segelap manapun kesan Trump/AS, kita mesti terus mempromosi ‘2P’. ‘P’ pertama ialah ‘prinsip’, iaitu hidup bersama dalam budaya damai, moderat dan manusiawi antara sesama manusia dan negara-negara.
Dan ‘P’ kedua ialah ‘proses’, iaitu meningkatkan peranan CSO dan aktivis bersama-sama politikus, pegawai kerajaan, diplomat dan ahli perniagaan yang sepemikiran.
Kedua-duanya ialah untuk membentuk ‘majoriti global’ yang memperjuangkan keamanan tulen.
*Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!