Rahsia terakhir pembunuhan JFK terbongkar

WASHINGTON - Arkib Negara Amerika Syarikat pada Selasa mengeluarkan kumpulan akhir fail berkaitan pembunuhan Presiden John F. Kennedy (JFK), satu kes yang masih mencetuskan teori konspirasi lebih 60 tahun selepas kematiannya.
Langkah itu dibuat susulan perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump pada Januari, mengarahkan pendedahan tanpa suntingan bagi baki fail berkaitan pembunuhan JFK, abangnya bekas Peguam Negara, Robert F. Kennedy, serta pemimpin hak sivil, Martin Luther King Jr.
"Dalam mematuhi arahan Presiden Donald Trump... semua rekod yang sebelum ini ditahan atas alasan klasifikasi yang merupakan sebahagian daripada Koleksi Rekod Pembunuhan Presiden John F. Kennedy kini didedahkan," kata Arkib Negara dalam satu kenyataan di laman webnya pada malam Selasa.

Arkib Negara telah mengeluarkan jutaan halaman dokumen berkaitan pembunuhan JFK sejak beberapa dekad lalu.
Namun, ribuan dokumen sebelum ini ditahan atas permintaan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) atas alasan keselamatan negara.
Suruhanjaya Warren yang menyiasat pembunuhan presiden berkarisma berusia 46 tahun itu menyimpulkan bahawa serangan itu dilakukan secara bersendirian oleh bekas penembak tepat tentera marin, Lee Harvey Oswald.
Bagaimanapun, keputusan rasmi itu gagal meredakan spekulasi bahawa pembunuhan JFK di Dallas, Texas, melibatkan komplot lebih besar.
Pendedahan fail kerajaan yang beransur-ansur juga menambahkan lagi bahan bakar kepada teori konspirasi.
Pakar menyiasat kes ini berpendapat fail yang masih disimpan oleh Arkib Negara tidak mungkin mengandungi pendedahan mengejutkan atau dapat menghentikan pelbagai spekulasi mengenai pembunuhan Presiden ke-35 Amerika Syarikat itu.
Oswald ditembak mati oleh pemilik kelab malam, Jack Ruby, pada 24 November 1963 iaitu dua hari selepas pembunuhan JFK yang ketika itu dia sedang dipindahkan ke penjara daerah.
Sebahagian besar rekod yang telah didedahkan mengandungi maklumat risikan mentah, termasuk laporan daripada ejen FBI yang menyiasat pelbagai petunjuk yang akhirnya menemui jalan buntu.
Banyak maklumat dalam fail itu juga sudah diketahui umum, termasuk hakikat bahawa CIA, yang terobsesi dengan komunisme, pernah merancang pelbagai percubaan untuk membunuh pemimpin Cuba, Fidel Castro.
Oswald sebelum ini membelot ke Kesatuan Soviet pada 1959 sebelum kembali ke Amerika Syarikat pada 1962.
Ratusan buku dan filem seperti JFK arahan Oliver Stone pada 1991 telah memperkukuhkan industri teori konspirasi, dengan tuduhan terhadap pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Soviet, Cuba, mafia, dan bahkan Naib Presiden Kennedy sendiri, Lyndon Johnson.
Pendedahan dokumen ini dibuat susulan Akta Kongres yang diluluskan pada 26 Oktober 1992, yang mengarahkan semua rekod pembunuhan Kennedy di Arkib Negara didedahkan sepenuhnya selepas 25 tahun. - AFP
Info JFK
-Presiden ke-35 AS (1961-1963).
-Seorang yang karismatik dalam sejarah AS.
-Terbabit dalam krisis Perang Dingin & peluru berpandu Cuba.
-Memperjuangkan hak sivil di AS.
-Dibunuh di Dallas pada 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!