Melaram barang kemas baharu, jangan sampai poket kering lepas raya

Barangan kemas baharu jadi pilihan ketika Syawal. Foto hiasan
Barangan kemas baharu jadi pilihan ketika Syawal. Foto hiasan
A
A
A

WALAUPUN harga emas mencecah RM500 segram, trend pembelian barang kemas menjelang Syawal tetap rancak terutama dalam kalangan wanita yang mahu bergaya dengan perhiasan baharu.

Perkara ini terbukti apabila ada peminat barang kemas di Kelantan sanggup membeli barangan perhiasan itu menggunakan wang syiling demi memenuhi tradisi membeli emas setiap kali menjelang Aidilfitri.

Persoalannya, adakah pembelian ini satu keperluan atau sekadar memenuhi kehendak semata-mata?

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, emas merupakan satu aset yang tahan lama, lindung nilai, kalis inflasi serta selamat untuk disimpan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan emas bukanlah sesuai sebagai pilihan utama untuk tujuan keuntungan segera, sebaliknya ia bersifat jangka masa panjang.

Nilainya cenderung meningkat dalam jangka masa panjang, menjadikannya pilihan popular bagi mereka yang mahu nilai simpanan lebih selamat berbanding wang tunai.

Bagaimanapun, pembelian barang kemas berbeza dengan jongkong atau dinar emas kerana faktor susut nilai akibat caj tukang.

Hakikatnya, keputusan membeli barang kemas menjelang Syawal bergantung kepada kemampuan individu.

Artikel Berkaitan:

Jika anda ada lebihan wang dan ingin menyimpan nilai pelaburan dalam bentuk aset, maka ia boleh dianggap satu keputusan bijak.

Namun, jika barang kemas dibeli semata-mata mengikut trend atau desakan gaya hidup, maka perbuatan itu boleh dianggap satu pembaziran.

Apa pun, pengguna dinasihatkan agar membuat keputusan bijak dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata untuk melaram ketika beraya.

Jangan sampai poket anda 'kering' selepas Aidilfitri dek terlalu ghairah memborong barang kemas baru tanpa mempertimbangkan kemampuan kewangan peribadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!