Telupid, Putrajaya dinobatkan sebagai bandar paling bahagia

Kor Ming bersama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud (tiga dari kanan) yang mewakili Putrajaya selepas dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia bagi kategori Majlis Bandaraya dan Perbandaran.
Kor Ming bersama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud (tiga dari kanan) yang mewakili Putrajaya selepas dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia bagi kategori Majlis Bandaraya dan Perbandaran.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Daerah Telupid, Sabah dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia 2025 menewaskan penyandangnya, Cameron Highlands.

Pusat Pentadbiran Persekutuan, Putrajaya pula turut dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia kategori Majlis Perbandaran dan Bandaraya.

Perkara itu diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini pada Khamis.

Selain Telupid dan Cameron Highlands, turut tersenarai bagi kategori Majlis Daerah adalah Lipis, Pahang; Kuala Krai; Kelantan di tempat ketiga diikuti Bandar Baharu, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Jerantut, Pahang dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Bintulu, Sarawak; Temerloh, Pahang; Johor Bahru, Johor; Bandaraya Diraja Klang, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan; Jasin, Melaka tersenarai dalam Kategori Majlis Bandaraya dan Perbandaran.

Turut disenarai, Pontian, Johor; Bandar Ampang Jaya, Selangor; Bandar Batu Pahat, Johor; Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka dan Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Kor Ming, Indeks Kebahagiaan Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 mata dari lima tahun sebelum ini, iaitu daripada pencapaian 83.34 peratus pada tahun 2020 kepada 88.84 peratus tahun ini.

"Saya difahamkan bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan pada tahun ini, sebanyak 153 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyertai kaji selidik indeks ini," katanya.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, 75 peratus bandar telah mencapai tahap bahagia dan 25 peratus lagi mencapai tahap sederhana bahagia.

Artikel Berkaitan:

"Ini jelas menunjukkan peningkatan positif dalam usaha kita mewujudkan komuniti yang lebih harmoni dan inklusif," jelasnya.

Kor Ming berkata, pengukuran Indeks Kebahagiaan Bandar dilaksanakan bermula pada 2015 melalui sistem MURNInets.

Kriteria pengukuran adalah selaras dengan pengukuran kebahagiaan di peringkat dunia yang memberi fokus kepada aspek seperti tahap tekanan hidup, tahap kesihatan, hubungan kekeluargaan serta kepuasan terhadap kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pemimpin setempat.

"Dapatan terkini mendapati bahawa sebahagian besar bandar di Malaysia menunjukkan peningkatan dari segi indeks kebahagiaan, hasil usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang lebih kondusif," katanya.

Daerah Telupid yang berkeluasan 2,210.25 kilometer persegi mempunyai kira-kira 29,704 penduduk.

Ia terbahagi kepada lima mukim iaitu Ulu Labuk, Pekan, Liwogu, Nangoh dan Sapi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!