Anwar mahu diberi peluang menghadap Agong buktikan sokongan majoriti

Anwar -Foto Bernama
Anwar -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuktikan keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen terhadap beliau.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden PH sebentar tadi, pakatan itu percaya bahawa Anwar telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dari kalangan ahli-ahli Parlimen berdasarkan proses yang telah ditentukan Seri Paduka Baginda tempoh hari.

“Majlis Presiden PH menyambut baik kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini, serta menjunjung kasih terhadap perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu pelantikan Perdana Menteri.

“Majlis Presiden meletakkan kepercayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mencari penyelesaian dalam proses pelantikan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Istana Negara dalam satu kenyataan sebentar tadi menegaskan Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli bagi membentuk kerajaan baharu.

Selain itu, Ahmad Fadil berkata, pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, satu persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan Isnin ini bagi menentukan calon Perdana Menteri selepas pertemuan semua ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong gagal menemui calon yang mempunyai majoriti mudah.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption