Pertemuan selesai...

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat meninggalkan pekarangan Yayasan Al-Bukhary pada jam 3.25 petang selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimennya termasuk beberapa bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti baru-baru ini.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri Interim itu beredar menaiki kenderaan jenis Mercedes bernombor pendaftaran Rimau 1925 untuk ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri International Conference On the Question of Palestine Southeast Asian Support for the Rights of the Palestinian People yang dijangka bermula pada jam 3.30 petang.

Walaupun tidak menurunkan tingkap kenderaan, Dr Mahathir dilihat melambai tangan kepada petugas media yang membuat liputan sejak awal pagi.

Terdahulu, pertemuan terbabit dipercayai membincangkan perkembangan terkini parti serta pembentukan kerajaan baharu.

Selain itu, isu kemungkinan meletakkan Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri dijangka menjadi perbincangan utama pertemuan itu.

Sementara itu, antara pemimpin Bersatu yang dilihat hadir ke Yayasan Al-Bukhary hari ini ialah Muhyiddin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selain itu, empat bekas Ahli Parlimen PKR yang hadir termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Artikel Berkaitan: