Lelaki rentung dalam kebakaran rumah di Raub

KUANTAN - Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Kuala Semantan, Cheroh, Raub pada awal pagi Khamis.
Mangsa, Zahari Ibrahim, 50, yang tinggal bersendirian dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum terperangkap dalam kebakaran itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 12.01 tengah malam.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dibantu anggota BBP Kuala Lipis ke lokasi untuk operasi pemadaman.
"Rumah separuh kekal itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.

"Setelah pihak bomba selesai memadamkan kebakaran, pemeriksaan menjumpai mangsa telah rentung di dalam rumah yang musnah terbakar," katanya.
Zulfadli berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

