Dilema Prabowo Subianto

BEBERAPA hari lalu Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR) mengadakan sidang tertutup di Hotel Fairmont, salah sebuah hotel mewah di Jakarta Pusat. Adalah dipercayai tujuannya untuk mengkaji dan meminda Undang-Undang Nombor 34 (UU34) Tahun 2004 Tentera Republik Indonesia (TNI).
Sidang ini menjadi perhatian besar masyarakat kerana dibuat secara tertutup. Sewaktu sidang itu berlangsung, tiga orang aktivis masyarakat sivil menceroboh masuk untuk menyatakan tentangan mereka terhadap cadangan pindaan itu. Ekoran peristiwa ini dua isu lain dibahaskan secara meluas.
Pertama, apa perlunya sidang DPR diadakan di hotel mewah sedangkan Presiden Prabowo Subianto sedang melaksanakan program penjimatan besar-besaran atas nama ‘efisiensi kos’? Kedua, apakah revisi UU34 itu akan mengembalikan semula peranan dwifungsi TNI seperti pada era Order Baru Suharto?
Demikianlah sebahagian daripada kecurigaan masyarakat terhadap Prabowo akhir-akhir ini. Supaya berlaku adil, terlalu banyak yang mahu dibuat oleh Presiden ke-8 itu. Setelah lima bulan di tampuk pemerintahan, beliau masih bergelut dengan pelbagai isu – besar dan kecil – yang sebahagiannya diwarisi dari pemerintahan Presiden terdahulu, Joko Widodo atau Jokowi.
Walaupun approval rating Prabowo setelah 100 hari melebihi 80 peratus, paling tinggi dalam sejarah mana-mana presiden yang baru mengambil alih, tetapi angka itu tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan. Isu ekonomi masih mendominasi. Daripada nilai rupiah hingga isu pekerjaan, bagi banyak pemerhati Indonesia pada masa ini bukan dalam keadaan ‘baik-baik sahaja’.

Salah satu dasar yang mahu dilaksanakannya sebagai janji pilihan raya adalah makan bergizi gratis (makan berzat percuma). Mengambil kira hampir 20 peratus rakyat Indonesia masih hidup di bawah paras kemiskinan dan lebih 20 juta rakyatnya daripada 270 juta orang tidur setiap malam dengan perut lapar, program itu tentulah sangat terpuji. Namun Prabowo komited untuk memastikan kejayaannya.
Maka itu sebahagian daripada usaha efisiensi kos disasarkan untuk menampung program tersebut. Akibatnya peruntukan hampir semua kementerian dipotong secara drastik. Ada yang sehingga 80 peratus. Pengkritik dasar ini mengingatkan kesan pemotongan pada prasarana asas untuk rakyat selain pendidikan dan kesihatan.
Prabowo mengerti makna kemiskinan dan kesejahteraan rakyat. Beliau telah menulis buku Paradoks Indonesia: Pandangan Strategis Prabowo Subianto yang pertama kali terbit pada tahun 2017. Judul buku ini kemudiannya dipermudahkan untuk edisi 2023 menjadi Paradoks Indonesia Dan Solusinya.
Secara mudah Prabowo menghujahkan tentang situasi di mana Indonesia yang kaya dengan sumber daya alam dan sumber daya manusia tetapi sebahagian besar rakyatnya masih hidup dalam kemiskinan.
Beliau membangkitkan tentang ketempangan ekonomi yang harus diperbaiki. Juga tentang soal korupsi yang bermaharajalela. Pada dasarnya buku ini menjadi teras perancangan Prabowo bagi memastikan Indonesia yang lebih adil, makmur dan sejahtera serta tanpa penindasan dan korupsi.
Krisis demi krisis
Melakarkan idea mudah tetapi melaksanakannya sukar. Itulah dilema Prabowo dalam masa lima bulan ini. Tentangan yang dihadapinya bukan kecil. Banyak pihak melihat Prabowo masih belum dapat membebaskan dirinya daripada belenggu rasa terima kasih kepada Jokowi.
Dalam Kabinetnya yang dianggap ‘gemuk’, terdapat 17 orang menteri yang diwarisi dari Jokowi. Prabowo juga terpaksa berhadapan dengan satu demi satu krisis yang mempersulit kerajaannya.
Kurang dua minggu di tampuk kuasa, Kejaksaan Agung Indonesia menahan Thomas Lembong, mantan Menteri Perdagangan yang kemudiannya menjadi tulang belakang kempen pilihan raya presiden bagi Annies Baswedan. Hal ini dianggap sebagai politik balas dendam.
Tidak lama selepas itu, meledak isu tabung gas tiga kilogram yang diperuntukkan sebagai subsidi rakyat. Hal ini berpunca daripada perubahan dasar oleh menteri berkaitan, Bahlil Lahadalia. Sehari selepas Prabowo mengumumkan penubuhan Danantara, terbongkar isu korupsi mega di Pertamina, syarikat minyak negara. Danantara merupakan badan untuk mengelola pelaburan selain memaksimumkan pengelolaan aset negara berskala besar dengan koordinasi yang lebih baik. Pertamina adalah teras Danantara.
Apa yang berlaku adalah selama lima tahun (2018-2023) akibat oplosan (blending atau campuran), minyak RON88 dan RON90 telah dijual sebagai RON92. Ini melibatkan proses yang kompleks dan masif. Adalah diandaikan bahawa kerugian bagi negara setahun adalah Rp190 trilion atau RM52 bilion. Dalam lima tahun kerugian totalnya mececah RM264 bilion atau lima kali jumlah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Seperti biasa, sembilan orang yang dianggap ‘tersangka’ atau yang disyaki tidak menunjukkan gambaran sebenar skandal ini. Tidak mungkin hanya pegawai pada peringkat tinggi atau pertengahan dan ejen yang terlibat. Banyak pihak mengesyaki ada pemain yang lebih besar terbabit.
Banyak yang yakin bahawa jerung sebenar tidak akan dibawa ke pengadilan. Pandangan ini bertolak daripada kes perlombongan haram membabitkan super-agent Harvey Moeis sebelum ini. Beliau dijatuhi hukuman enam tahun oleh mahkamah. Keputusan ini mendapat kecaman banyak pihak termasuk Prabowo sendiri.
Kerosakan alam sekitar dan kerugian negara dianggarkan Rp300 trilion atau RM17 bilion. Tetapi pemilik sebenar lombong haram itu tidak pernah didakwa.
Jihad Prabowo untuk memenjarakan mereka yang rasuah nampaknya tidak mudah. Dalam beberapa kes sistem kehakiman itu sendiri diragui. Ronald Tannur anak mantan anggota DPR dituduh membunuh kekasihnya, Dini Sera Afriati pada bulan Oktober 2023. Kes itu jelas, buktinya tertera tetapi yang dituduh dibebaskan oleh mahkamah.
Siasatan membuktikan bahawa ejen yang menjadi orang tengah di antara bapa Ronald dan tiga hakim terbabit menyimpan Rp20 bilion dan jongkong emas seberat 51 kilogram di kediamannya.
Terlalu banyak yang nampaknya harus diutamakan oleh Prabowo. Dengan Kabinet yang besar tetapi peruntukan yang dipotong, ekonomi yang kurang baik, masalah ibu kota negara Nusantara, juga skeptisisme golongan wartawan, pimpinan masyarakat sivil, ilmuwan dan pelajar, Prabowo harus menangani isu realiti selain persepsi.
Banyak pihak masih bersedia memberikan waktu untuk Prabowo menunjukkan taring sebenarnya.
Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik, sastera dan budaya Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!