Lepas jika tak mampu, KL City perlu kekal dalam Liga Super - Khalid Samad

KUALA LUMPUR - Pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) disaran mengambil pendekatan terbuka dengan melepaskan pemilikan Kuala Lumpur (KL) City FC kepada pihak yang berminat, jika tidak mampu lagi menampung kos operasi pasukan.
Bekas Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad berkata, masa depan pasukan tidak boleh dijadikan taruhan hanya kerana kekangan kewangan dihadapi pengurusan baharu, dalam memastikan The City Boys kekal bersaing dalam Liga Super.
Khalid Samad yang mahu melihat KL City kekal dalam Liga Super, mencadangkan supaya pasukan dijual dengan segera, memandangkan ada pihak yang sudah membuat pembayaran deposit RM1.53 juta sebelum ini.
"Dicadangkan jual pasukan bola sepak KL City dengan seberapa segera, ada pihak yang telah membayar RM1.53 juta sebagai deposit. Maka teruskan, lepaskan tanggungan yang rasa tak mampu untuk ditanggung.
"Jangan kerana tidak mampu, kamu bawa KL City ke Liga Premier atau keluar daripada Liga Super, paling kurang beri pada pihak yang sudah sanggup nak beli...lepaskan, biar orang lain yang mampu, sanggup dan bercita-cita untuk kekalkan KL City di peringkat tertinggi dalam liga negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung masa depan KL City di sini pada Rabu.
Awal bulan ini, Presiden KLFA yang baharu yang juga Pengerusi KL City Syed Yazid Syed Omar dilaporkan berkata bahawa kelab itu mungkin menarik diri daripada Liga Super musim depan, dan memilih untuk bermain di liga bawahan bagi menyelesaikan tunggakan hutang kepimpinan lama.
Susulan laporan itu, juara Piala Malaysia 2021 itu dalam satu kenyataan menegaskan komitmen untuk mengekalkan status pasukan sebagai kelab elit dalam Liga Super.
Kenyataan itu turut menegaskan keputusan mengenai masa depan pasukan hanya akan dibuat melalui mesyuarat rasmi lembaga pengarah, dengan penglibatan semua pihak berkepentingan.
KL City, naib juara Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022, kini berada di posisi keenam Liga Super dengan mengumpul 28 mata selepas 21 perlawanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!