Bacaan surah Ad-Dhuha dipuji, Cik B jadikan amalan

PENYANYI yang juga anak kepada usahawan Datuk Seri Vida iaitu Cik B mengakui segan apabila mendapat pujian daripada warga maya selepas videonya mengalunkan bacaan surah Ad-Dhuha tular di media sosial baru-baru ini.
Jelas Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19, dia merasakan bacaan surah itu hanyalah perkara biasa, memandangkan masih ramai lagi yang boleh melakukan perkara sama.
Namun dalam masa, penyanyi Raya Gen Z itu mengakui Ad-Dhuha merupakan salah satu surah kegemarannya dan dia sudah menghafal serta mengamalkan sejak berusia tujuh tahun.

"Saya segan sebab itu surah biasa saja, semua orang hafal.
"Saya mula amalkan sejak ia mula bermain di kepala saya dan sudah mula hafal sejak kecil," katanya kepada mStar.
Berkongsi momen dirinya mengalunkan surah Ad-Dhuha bersama seorang pelayan restoran di Turki, Cik B memberitahu dia disapa secara tiba-tiba oleh lelaki berkenaan.
Ujarnya, surah berkenaan sangat besar maknanya kerana Allah SWT tetap menyayangi hambanya walaupun melakukan kesilapan.
"Ketika itu saya di restoran sedang makan tiba-tiba lelaki ini datang dan mula mengaji sambil bersembang, dia bertanya surah kegemaran saya.
"Saya cakap Ad-Dhuha, selepas itu saya baca dan dia ikut sekali. Saya pun tidak perasan adik saya rakam momen itu.
"Saya suka surah ini kerana membawa makna ALLAH tetap sayang kita walaupun kita ini jahat. Ad-Dhuha ini juga surah yang memberi saya rezeki," jelasnya.
Sebelum ini, tular rakaman memperlihatkan Cik B mengalunkan surah Ad-Dhuha dengan lancar sehingga mendapat pujian ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!