Ahli Kosma terima dividen RM5,000, agihan keseluruhan RM63.19 juta

KUANTAN – Harga sawit yang stabil dan pengurusan cekap membolehkan 1,456 ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) menerima dividen lebih tinggi bagi tahun kewangan 2024.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap ahli akan menerima RM5,000 bagi setiap unit ladang yang dimiliki, meningkat berbanding RM4,500 pada tahun lalu.
Menurutnya, pembayaran interim bagi satu unit ladang akan bermula hari ini bagi membantu ahli membuat persediaan menyambut Aidilfitri hujung bulan ini.
"Baki bayaran akan disalurkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Kosma ke-40 pada 21 Jun depan.
"Ketika ini, terdapat 12,638 unit ladang Kosma, dengan jumlah keseluruhan dividen yang diagihkan sebanyak RM63.19 juta," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini pada Rabu.
Wan Rosdy menjelaskan, pembayaran dividen itu berdasarkan prestasi kewangan kukuh Kosma, yang mencatatkan pendapatan RM224.88 juta dengan keuntungan bersih RM134.17 juta bagi tahun kewangan 2024.
Ujarnya, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira faktor ekonomi serta kebajikan ahli Kosma.
"Peningkatan kadar dividen ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.
Selain itu, Wan Rosdy berkata, Kosma perlu terus mencari peluang baharu bagi memastikan koperasi terus berkembang dan kekal berdaya saing.
"Kosma tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu terus berfikir ke hadapan dan meneroka peluang baharu bagi memastikan pertumbuhan berterusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!