Penyanyi, ahli politik terkenal antara mangsa nahas pesawat

TEGUCIGALPA – Penyanyi dan ahli politik terkenal Honduras, Aurelio Martínez disahkan maut dalam nahas pesawat yang mengorbankan 12 orang di perairan Pulau Roatán, Honduras pada Isnin.
Pesawat Jetstream-32 milik National Airline of Honduras (Lahnsa) itu berlepas dari Lapangan Terbang Juan Manuel Gálvez menuju ke Lapangan Terbang Guillermo Anderson di La Ceiba sebelum terhempas ke Laut Caribbean beberapa minit selepas berlepas.
Martínez, 56, merupakan nama besar dalam dunia muzik Garifuna dan terkenal sebagai pemuzik serta pejuang budaya masyarakat tersebut.
Menurut pihak berkuasa, seramai lapan penumpang dan tiga kru pesawat turut terkorban dalam insiden itu.
Seorang nelayan, Manuel Alemán berkata, beliau bersama rakannya Eduardo Orellana sedang berada di dalam bot kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian ketika pesawat tersebut terhempas.

"Kami bergegas ke lokasi dan melihat mayat beberapa mangsa terapung sebelum terdengar jeritan penumpang yang terselamat.
"Pesawat itu terbelah dua akibat impak kuat. Mayat dan mangsa yang cedera kelihatan terapung di sekelilingnya," katanya.
Tambahnya, mereka berjaya menyelamatkan tiga wanita dan seorang lelaki.
Salah seorang mangsa yang terselamat, Jayro Vargas berkata, pesawat itu berdepan tiupan angin kencang beberapa minit sebelum terhempas.
Kapten Jabatan Bomba Roatán, Franklin Borjas mendedahkan bahawa pesawat berkenaan mengalami masalah mekanikal pada salah satu mesinnya yang dipercayai menjadi punca nahas.
Kesemua 12 mayat mangsa dijadualkan dibawa ke rumah mayat di ibu negara, San Pedro Sula untuk dibedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!