PM santuni peniaga, pengunjung Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara

Anwarbermesra dengan kanak-kanak semasa melawat Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada Selasa. Foto Bernama
Anwarbermesra dengan kanak-kanak semasa melawat Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa meluangkan masa meninjau dan beramah mesra bersama peniaga serta pengunjung di Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini.

Ketibaan Perdana Menteri di bazar tersebut pada 6.15 petang itu, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Turut serta, Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Sebaik tiba, Perdana Menteri disambut meriah oleh pengunjung daripada pelbagai kaum dan peringkat umur termasuk kanak-kanak yang teruja berpeluang bertemu dan bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Anwar melawat Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada Selasa. Foto Bernama
Anwar melawat Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada Selasa. Foto Bernama

Anwar meluangkan masa kira-kira 20 minit berbual dengan peniaga serta menyantuni pengunjung yang hadir ke bazar yang menempatkan 110 gerai itu.

Seorang peniaga, Rashidah Hashim, 48, teruja dapat bertemu empat mata dengan Perdana Menteri selain turut gembira kerana berkesempatan memberikan juadah kepada beliau.

"Tak dapat nak digambarkan perasaan sebab tak sangka ini kali pertama saya dapat bersua muka dengan Perdana Menteri. Beliau sempat berseloroh tanya dengan saya pulut udang mana?,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, tambah nilai Touch 'n Go sebanyak RM20 ditawarkan kepada 1,000 pengguna yang hadir ke reruai kementerian itu di bazar tersebut hari ini, melalui inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) selaras dengan aspirasi untuk merancakkan pendigitalan transaksi dalam kalangan peniaga.

Artikel Berkaitan:

Usai tinjauan, Anwar bergerak ke Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Negeri Peringkat Pulau Pinang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!