Tiada keperluan bubar DUN Pulau Pinang

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

BATU KAWAN- Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, jika Parlimen dibubarkan di peringkat Persekutuan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, kedudukan DUN Pulau Pinang akan dikekalkan mengikut mandat diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hingga tamat penggal pada 2023.

"Saya rasa setiap negeri perlu membuat penilaian dan keputusan sendiri sekiranya kerajaan Persekutuan memuktamadkan keputusan untuk membubarkan Parlimen.

"Pulau Pinang tidak akan ikut langkah untuk membubarkan DUN kerana kita mempunyai mandat kukuh, selain ada tiga tahun lagi untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Smith & Nephew Operation Sdn Bhd di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini hari ini.

Kon Yeow (lima dari kanan) ketika Majlis Pecah Tanah Smith & Nephew Operation Sdn Bhd di Taman Perindustrian Batu Kawan pagi tadi.
Kon Yeow (lima dari kanan) ketika Majlis Pecah Tanah Smith & Nephew Operation Sdn Bhd di Taman Perindustrian Batu Kawan pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan CEO Invest Penang, Datuk Loo Lee Lian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata demikian mengulas keadaan terkini politik negara yang masih gagal mencapai keputusan berhubung lantikan Perdana Menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin lalu.

Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, selain memanggil semua Ahli Parlimen menghadap untuk mencalonkan mana-mana pihak sebagai Perdana Menteri kelapan atau membubarkan Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Rentetan itu, Muafakat Nasional yang dianggotai Barisan Nasional, Pas dan Parti Bersatu Rakyat Sabah minta supaya Parlimen dibubarkan, manakala Pakatan Harapan mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.