'Fokus gerak kerja, jangan fikir masalah parti lawan'

TAPAH - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mahu barisan jentera fokus terhadap usaha memperkukuh gerak kerja memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tanpa mengambil kira masalah dalaman parti lawan.
Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang pergolakan berlaku dalam kem pembangkang termasuk melibatkan kedudukan jawatan Pasuruhjaya Pas Perak bukanlah isu penting yang perlu difikirkan.
"Sudah tentu jika ada berlaku kelemahan di peringkat lawan, itu adalah bonus kepada kita.
"Tetapi bagi saya, itu semua urusan merekalah.
"Saya beritahu kepada jentera yang kita kena fokus dan buat kerja kita," katanya sempena Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri Perak bersama penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Batang Padang di Dewan Serbaguna Air Kuning di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, BN sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan pergolakan dalam parti lawan tidak akan mengalihkan tumpuan parti itu daripada matlamatnya.
"Siapapun jadi Ketua Pembangkang atau Pesuruhjaya Pas, tidak memberi kesan kepada kita kerana yang paling penting jentera BN perkemaskan diri masing-masing," katanya.
Pada 1 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria direhatkan sementara daripada jawatan Pesuruhjaya Pas Perak.
Keputusan tersebut didakwa dibuat kepimpinan Pas Pusat susulan beberapa isu melibatkan pemimpin itu termasuk kes terbaru mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Bhd (YTL).
ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin turut mengesahkan beliau telah melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak selepas hampir enam tahun memegang jawatan tersebut.
Peletakan jawatan itu dibuat November tahun lalu selepas memenangi kerusi dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Sementara itu, Saarani berkata, seramai 300 ketua isi rumah bagi kawasan DUN Ayer Kuning menerima bantuan JKM mengikut kategori penerima masing-masing membabitkan peruntukan RM150,000 sebulan.
Beliau berkata, berdasarkan data terkini penerima bantuan JKM, seramai 52,057 orang yang menerima manfaat daripada semua skim bantuan bulanan JKM sama ada skim bantuan persekutuan mahu pun negeri.
"Daripada jumlah itu, seramai 3,010 atau 5.8 peratus adalah daripada daerah Batang Padang termasuk kawasan DUN Ayer Kuning," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!