PRK DUN Ayer Kuning: UMNO tidak boleh ambil mudah sentimen rakyat

PONTIAN – UMNO tidak boleh mengambil mudah sentimen rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sentimen pengundi sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa dan isu setempat.
"UMNO perlu berusaha gigih, jangan mengambil mudah kerana kita tidak tahu apa sentimen dalaman rakyat walaupun tiada isu setempat yang besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
"Saya sudah meninjau kawasan berkenaan beberapa kali sebelum ini dan saya nampak ia tidak seperti PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang sebelum ini, yang mempunyai isu setempat seperti masalah bekalan air dan kenaikan tarif air yang menjadi bahan perbincangan," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa DUN Pulai Sebatang di Dewan Jubli Intan di sini, pada petang Sabtu.
Ahmad menambah, UMNO Johor telah diberi tanggungjawab menguruskan dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) angkat pada PRK Ayer Kuning, iaitu Tanjung Keramat dan Changkat Petai.
"UMNO Johor akan menetapkan bahagian yang akan terlibat untuk dua PDM tersebut. Sebelum ini, kita hanya menumpukan kepada bahagian tertentu sahaja bagi PRK di luar Johor.
"Pada PRK Ayer Kuning kali ini, saya selaku Timbalan Pengerusi UMNO Johor akan mengetuai gerak kerja UMNO Johor bersama Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi," ujarnya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru. Beliau mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), Perikatan Nasional (PN) (6,812), Parti Pejuang Tanah Air (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Pada 7 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
Pada Sabtu, media melaporkan bahawa calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Ayer Kuning dijangka diumumkan sama ada pada 5 atau 6 April depan bagi membolehkan calon menyesuaikan diri dan dikenali pengundi lebih awal.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata BN akan mengadakan majlis ringkas pengumuman calon pada tarikh berkenaan, kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon ditetapkan pada 12 April.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!