SPR siap sedia hadapi pilihan raya tergempar

Azhar Azizan Harun -Foto Bernama
Azhar Azizan Harun -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berada dalam keadaan siap sedia sekiranya berlaku pilihan raya umum tergempar.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, SPR akan melaksanakan tugas-tugasnya mengikut Perlembagaan.

"Kita kena tunaikan tanggungjawab (melaksanakan pilihan raya) itu mengikut peruntukan," katanya.

Menurutnya, sekiranya Parlimen dibubarkan, pilihan raya perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari.

"Kalau dibubarkan, perlu diadakan pilihan raya dalam tempoh tersebut," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai kesiapsiagaan SPR menghadapi pilihan raya sekiranya sidang khas Dewan Rakyat bagi menentukan majoriti tidak menemui jalan penyelesaian terhadap kemelut politik tanah air.

Azhar turut menjangkakan pilihan raya kali ini akan memakan belanja melebihi kos Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang ini.

Ini kerana katanya, SPR telah melakukan penambahbaikan dengan menambah saluran di setiap peti undi bagi memudahkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah adakan saluran khas, tambah saluran supaya orang kurang upaya (OKU), warga emas supaya mereka tidak perlu menunggu lebih lama.

"Di PRK Kimanis, pengundi disediakan kerusi, khemah, pendingin hawa malahan 'buggy' untuk membawa pengundi OKU, warga emas.

"Jadi ini sudah tentu memakan belanja. Saya tidak dapat perincikan jumlahnya," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, SPR akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk parti- parti politik untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi.

"Kita akan bersama-sama Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tujuan ini," katanya.

Beliau berkata, usaha akan digandakan memandangkan wujud kebimbangan terhadap risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Rakyat tidak berani keluar seperti dahulu dan kalau KKM beri galakan dan jaminan, tiada apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan satu sidang khas di Dewan Rakyat akan diadakan bagi mengenalpasti majoriti untuk menentukan pentadbiran negara.

Sekiranya sidang khas itu gagal, satu pilihan raya akan diadakan.