Wira yang hilang kuasa

Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bakal dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda ekoran pembunuhan yang dilakukannya dalam perang melawan dadah sekitar 2011 dan 2019.
Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bakal dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda ekoran pembunuhan yang dilakukannya dalam perang melawan dadah sekitar 2011 dan 2019.
A
A
A

SEEKOR ayam jantan terlihat sombong, gagah dan berani bukan sahaja warnanya yang menarik, dan lagaknya berjalan tetapi kerana tajinya yang tajam. Tanpa taji, ayam jantan tak terlihat begitu jantan lagi. Ia dengan mudah dikalahkan.

Begitulah yang selalu berlaku kepada kebanyakan pemimpin. Terbaharu, bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bakal dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda ekoran pembunuhan yang dilakukannya dalam perang melawan dadah sekitar 2011 dan 2019.

Beliau menjadi Presiden antara 2016 hingga 2022 dan sebelum itu beliau merupakan Datuk Bandar Davao. Lebih malang, beliau ditahan di negaranya sendiri, di lapangan terbang sebaik sahaja tiba dari Hong Kong.

Beliau ditahan ketika usianya 79 tahun, usia yang bagi kebanyakan orang mungkin sudah tidak begitu sihat dan kuat lagi.

Di era pemerintahannya, beliau ada skuad pembunuhnya sendiri yang diguna untuk menembak pengedar dadah. Pengedar ini boleh dibunuh di mana-mana tanpa perlu disoal siasat.

Ia dakwaan yang selalu dinafikannya. Tetapi gambarnya memegang senapang menunjukkan beliau bukan orang biasa juga, watak yang bukan calang-calang.

Dalam dunia ini jarang kita lihat pemimpin negara bergambar dengan rifel di tangan, melainkan jika pemimpin itu kumpulan militan atau mafia. Beliau juga memecat ramai pegawai kerajaan, antaranya kerana dituduh rasuah. Tetapi, ada pula yang disingkirkan kerana tidak sehaluan dengannya dalam perang melawan dadah. Ia termasuklah ketua hakim.

Namun, setelah tidak lagi sebagai orang paling berkuasa, mungkin tidak siapa pun yang takutkannya lagi. Ia berlaku kepada kebanyakan orang yang berkuasa, sama ada yang tinggi atau rendah. Rupanya orang hanya takutkan kepada kuasa dan pengaruh, bukan diri orangnya.

Donald Trump kini kembali sebagai Presiden sekali lagi. Semasa jatuhnya, seperti orang biasa yang lain, beliau juga perlu menghadapi macam-macam tuduhan di mahkamah, antaranya ialah pemalsuan dokumen perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau telah dijatuhi hukuman bersalah, cuma bernasib baik menang sebagai Presiden lagi. Ia membuatkan beliau perlu dibebaskan. Jika tidak dibebaskan pun, sebagai Presiden, beliau ada kuasa mengampunkan diri sendiri.

Kini setelah kembali berkuasa, beliau kembali dengan keangkuhan dan rakusnya semula. Antara diugut ialah institusi kehakiman yang dikatakannya sebagai penuh rasuah dan salah guna kuasa. Ya, begitulah manusia di mana-mana pun. Seperti ayam jantan yang bertaji, manusia pula kuat kerana kuasanya.

Di negara kita pun, ramai pemimpin kita yang sangat berpengaruh ketika berkuasa. Mereka mungkin boleh berbuat apa sahaja jika mahu. Ada yang memasukkan musuh politik ke penjara, ada pula yang kaum keluarganya tumpang menjadi kaya raya.

Tetapi, sepertinya sebaik sahaja tak lagi berkuasa, ada sahaja salah laku yang ditemui. Ada yang didakwa dan dipenjara. Ada yang ditangkap hanya beberapa hari setelah kuasanya tiada.

Waktu berkuasa, manusia berasa kuat kerana di sekelilingnya penuh dengan orang yang memuja. Apa sahaja yang dikehendaki akan dipenuhi permintaannya.

Malah, orang yang berkuasa boleh meminta orang lain menurut apa sahaja mahunya walaupun dia mungkin sedar ia hal mungkin tak boleh dicapai tetapi itulah ego manusia.

Sebab itu, setiap yang bergelar pemimpin perlu ada batasnya juga. Tidak kisahlah sama ada sebagai pemimpin di pejabat kerajaan, organisasi swasta atau pemimpin negara sekalipun.

Kuasa yang ada itu hanyalah sekadar ‘perasaan’. Ia tidak realiti. Semasa kita berpencen atau berhenti, kita akan hanya sekadar mendapat sekeping kad ucapan terima kasih. Setelah itu orang meluru kepada orang lain pula.

Yang jadi pemimpin berhati-hatilah. Seperti ingatan dalam hadis Nabi — ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu’. Kita mungkin tidak malu sekarang, mungkin di kemudian hari.

*Mohd Awang Idris ialah seorang Profesor dalam bidang Psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya. Penulis juga ialah Profesor Adjung di Universiti of South Australia dan Profesor Madya Adjung di Griffith University

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!