‘Tolonglah beri laluan kepada ambulans’

Chee Heng (empat dari kiri) ketika Program Simbolik Penyerahan Ambulans Baharu bernilai RM142,000 sumbangan Yayasan Winner Emperor Sedunia di Puchong Utama, semalam.
Chee Heng (empat dari kiri) ketika Program Simbolik Penyerahan Ambulans Baharu bernilai RM142,000 sumbangan Yayasan Winner Emperor Sedunia di Puchong Utama, semalam.
A
A
A

PUCHONG - Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang terkenal dengan gelaran Uncle Kentang kesal dengan sikap sesetengah pengguna jalan raya yang tidak memberi laluan kepada ambulans ketika dalam keadaan kecemasan.

Beliau yang menawarkan perkhidmatan ambulans percuma kepada mangsa kemalangan dan pesakit tidak berkemampuan berkata, ada pemandu kereta tidak peduli kehadiran ambulans yang mungkin membawa seseorang yang bertarung nyawa untuk mendapatkan rawatan segera di hospital.

“Saya kesal bila siren ambulans dipasang dan dibunyikan masih ada pengguna jalan raya yang seolah-olah ‘tidur’ dalam kereta dan tidak memberi laluan sedangkan di dalamnya ada pesakit sedang bertarung nyawa.

“Memang dalam ambulans itu bukan kawan kamu tapi siapa tahu ia mungkin ibu, bapa atau anak kamu.

“Ambulans tak akan bunyikan siren suka-suka, kami ada tugas berat menyelamatkan nyawa... saya rayu tolong beri laluan kepada ambulans,” katanya ketika Program Simbolik Penyerahan Ambulans Baharu bernilai RM142,000 sumbangan Yayasan Winner Emperor Sedunia di Puchong Utama semalam.

Majlis disempurnakan Penasihat Yayasan Winner Emperor Sedunia, Datuk Seri Liow Soon Hee.

Chee Heng dalam program sama sebelum itu menceritakan pengalamannya sepanjang menawarkan khidmat ambulan percuma kepada masyarakat Puchong.

Menurutnya, beliau berjanji akan terus memberikan khidmat terbaik kepada mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Kakak saya pengsan awal bulan lalu dan pada awalnya disahkan sudah meninggal dunia. Namun atas kepantasan saya menghantarnya ke hospital menggunakan ambulans selain kepakaran pihak hospital nyawanya berjaya diselamatkan.

“Itu adalah hadiah tuhan bagi saya...dalam penat memandu ambulans, tuhan kembalikan nyawa kakak saya sebagai hikmah bahawa saya kena buat lebih daripada itu,” katanya.

Dalam pada itu, Chee Heng menggesa syarikat korporat dan swasta menyumbangkan lebih banyak ambulans kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

“Berikanlah ambulan kepada NGO dan pastikan mereka gunakan dengan baik. Ia sedikit sebanyak dapat kurangkan kos kepada pesakit miskin.

Dalam pada itu, Soon Hee berkata, ambulans berkenaan dibeli hasil sumbangan rakannya dari negara China.

“Saya harap perkhidmatan ini dapat digunakan semua bangsa di negara ini,” katanya.