Terima pautan video pimpin dua anak, ibu Zayn Rayyan buat laporan polis

SUNGAI BULOH – [DIKEMAS KINI] Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin membuat laporan polis berhubung penerimaan satu pautan video menerusi aplikasi WhatsApp pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diterima Balai Polis Kampung Baru Subang pada jam 2.43 petang.
Beliau berkata, pengadu dalam laporan itu menyatakan bahawa pada Khamis, dia telah menerima satu pautan video di TikTok melalui aplikasi WhatsApp yang berdurasi lebih kurang satu minit.
"Dalam pautan video tersebut, pengadu menyatakan terdapat rakaman video yang menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya, iaitu arwah Zayn Rayyan dan Mateen yang berusia enam tahun.
"Mereka bertiga menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kata beliau, pengadu merasakan bahawa individu yang tidak dikenali itu telah merakam video tersebut dari kawasan Blok Apartmen Idaman yang berhadapan dengan Blok R.
Tambahnya, pengadu menyatakan rakaman dibuat dari ketinggian yang menunjukkan bahawa perakam kemungkinan besar adalah seorang penghuni di salah satu tingkat atas di blok tersebut.
Menurut beliau, tujuan pengadu membuat laporan itu kerana merasakan bahawa keselamatan dirinya dan keluarga berada dalam keadaan terancam.
Tambahnya, pengadu juga percaya bahawa ia bukan satu kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman itu dibuat, anak pengadu, iaitu Zayn Rayyan, telah ditemui mati dengan jarak lebih kurang 200 meter dari lokasi di mana video itu dirakam.
"Siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan pihak polis memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!