Riuh sambut Sahur Sekampung

SUNGAI PETANI - Kira-kira 100 penduduk Kampung Kongsi 6, Sungai Lalang di sini meriah bergotong-royong sejak 12 tengah malam bagi menjayakan program Sahur Sekampung pada Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Zackariah Ismail, berkata kemeriahan dirasai pada malam itu seolah-olah malam raya dengan pelbagai pengisian menarik disediakan.

Menurutnya, selain menyediakan juadah bersahur, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk sukaneka, tayangan filem sejarah dan penyerahan sumbangan kepada golongan memerlukan.
"Kelainannya sedikit, kerana selalunya orang mengadakan majlis berbuka puasa tetapi kami mengadakan sahur secara beramai-ramai. Matlamatnya adalah untuk mengeratkan silaturahim dan mengambil keberkatan Ramadan," katanya.
"Mereka mula memasak pada jam 12 tengah malam dengan menyediakan beberapa menu seperti nasi putih, gulai pisang, kurma kambing, ikan masin dan berkumpul sehingga selesai bersahur," tambahnya.
Menurutnya, walaupun ia merupakan program julung kali diadakan, mereka tidak menyangka sambutan diterima sangat menggalakkan daripada penduduk kampung termasuk kerjasama Imam Kariah Masjid al-Muhajirin Taman Bandar Baru Sungai Lalang.
"Lebih menarik apabila tiba waktu bersahur, anak muda berjalan kaki dari rumah ke rumah yang kami panggil 'ketuk-ketuk sahur', dengan tujuan mengajak penduduk bersahur bersama," ujarnya.

Seorang penduduk, Syahril Abdul Hamid, 45, memuji tindakan anak muda kampung yang sanggup membantu dan memeriahkan suasana dari tengah malam hingga selesai bersahur.
"Terima kasih kepada mereka yang mengetuk pintu rumah untuk mengajak sahur. Suasana sangat meriah dengan bunyi mercun, tayangan filem, dan anak-anak kecil pun turut serta berkumpul di surau," katanya.
Isterinya, Ainul Jariah Idris, 40, berkata bukan hanya orang dewasa, malah remaja dan kanak-kanak juga tidak ketinggalan menyertai Sahur Sekampung.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, walaupun penat memasak, kemeriahan malam bersahur itu amat dirasai dan meninggalkan kenangan manis buat penduduk kampung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

