Pasangan India tular di TikTok sahut cabaran puasa penuh

SHAH ALAM - Selepas tular di TikTok kerana memuat naik video teruja pergi ke bazar Ramadan tahun lalu, pasangan suami isteri berbangsa India itu menyahut cabaran untuk berpuasa penuh pula pada tahun ini sama seperti umat Islam lain.
Suri rumah, Rekka Nokkarajoo, 39, berkata, dia dan suami, K Kaartik Krishnan, 39, tergerak hati berbuat demikian kerana ramai pengikut media sosial TikTok memberitahunya bahawa nikmat berpuasa penuh memberikan kepuasan berbeza.
Selain itu, menurut Rekka, niatnya mencuba berpuasa kerana ingin memberikan motivasi kepada generasi muda terutama yang beragama Islam disebabkan ada segelintirnya gemar ponteng puasa.
"Kalau kami boleh, mereka pasti boleh! Jadi, tahun ini kami sahut cabaran dengan cuba berpuasa mengikut cara umat Islam buat pertama kali, memang lain nikmatnya.
"Saya dapat rasa badan jadi lebih ringan. Memandangkan kali pertama cuba puasa, bolehlah saya pakai kebaya dan suami sarung baju Melayu semasa Hari Raya nanti.
"Kami amalkan tiga prinsip iaitu berkongsi, memberi dan menyebarkan kasih sayang. Kita semua hidup dalam masyarakat majmuk, jadi tiada rasis antara satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sesi penstriman langsung Rekka dan Kaartik Krishnan diadakan setiap kali selepas berbuka puasa, bahkan pernah mendapat tontonan sehingga 7,000 orang ketika sahur.
Ibu kepada lima cahaya itu memaklumkan, tidak tergambar perasaan gembira di hati apabila usahanya untuk mencuba amalan berpuasa cara Islam menarik minat dan sokongan pelayar TikTok.
Tambah wanita tersebut, setakat ini tiada seorang pun yang mempertikai atau melampiaskan komen negatif, sebaliknya memberi semangat untuk terus menahan lapar dan dahaga sehingga azan Maghrib.
"Mereka sokong dan selalu tanya apa juadah berbuka puasa, jadi kami jadi lebih bersemangat.
"Anak-anak saya pula tidaklah berpuasa kerana mereka makan di kantin sekolah, tetapi balik ke rumah tak nak makan sebab mahu makan sekali dengan kami yang berpuasa ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

