Pembinaan Hospital Tuanku Jaafar 2 dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri

Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan pada Ahad.
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan pada Ahad.
A
A
A

TAMPIN - Pembinaan Hospital Tuanku Jaafar 2 di Seremban akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan yang perlu diberikan perhatian oleh Kementerian Ekonomi.

Menurutnya, pembinaan hospital berkenaan merupakan satu keperluan mendesak bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

"Justeru, saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Pada Ahad, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Ketua Setiausaha Negara, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Anwar berkata, mesyuarat tersebut antara lain berfungsi sebagai wahana untuk menilai pelbagai projek pembangunan negeri serta perencanaan jangka panjang.

"Ia menggarap aspek infrastruktur asas seperti pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir dan pengurusannya, alam sekitar dan sumber air.

"Saya turut memberi penekanan bahawa setiap projek direncana perlu dilaksanakan dengan sinergi yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan," katanya.

Tambahnya, karenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek mesti diminimumkan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, projek-projek ini akan memberi limpahan manfaat kepada warga Negeri Sembilan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Selepas mempengerusikan majlis berkenaan, beliau menghadiri majlis berbuka puasa yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Padang Serbaguna Tampin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!