Kerajaan Pahang perkenal baucar RM50 bantu rakyat memerlukan

Wan Rosdy (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Moh! Karnival Makmur 2025 peringkat Bera di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN
Foto Sinar Harian
Wan Rosdy (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Moh! Karnival Makmur 2025 peringkat Bera di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN Foto Sinar Harian
A
A
A

BERA – Kerajaan negeri terus prihatin terhadap golongan memerlukan di Pahang dengan inisiatif terbaru memperkenalkan baucar yang boleh digunakan untuk membeli barangan makanan dan keperluan di pasar raya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, baucar bernilai RM50 itu akan diagihkan dalam kalangan pemimpin setempat.

Menurutnya, baucar tersebut boleh digunakan di Pasar Raya TMG dan Pasar Raya Darul Makmur (PDM) seluruh Pahang.

Wan Rosdy (empat dari kanan) ketika menerima replika cek cukai tanah daripada Ahmad Shabery (tiga dari kanan). - FOTO SINAR HARIAN
Wan Rosdy (empat dari kanan) ketika menerima replika cek cukai tanah daripada Ahmad Shabery (tiga dari kanan). - FOTO SINAR HARIAN

"Kita melihat baucar ini merupakan satu perkara yang boleh membantu rakyat. Sebagai contoh, jika Yang Berhormat (YB) Datuk Sabariah Saidan atau YB Angah berjumpa golongan susah, mereka boleh berikannya untuk dibelanjakan.

"Tiada peruntukan khusus ditetapkan untuk baucar itu buat masa ini kerana ia masih dalam tempoh percubaan dan kita akan tengok dahulu sambutan rakyat terhadap inisiatif ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Moh! Karnival Makmur 2025 peringkat Bera di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan; Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ujarnya, antara kelebihan baucar berkenaan ialah ia hanya boleh digunakan untuk membeli barang keperluan dan tidak boleh ditukar kepada wang tunai, yang sekali gus mengoptimumkan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Wan Rosdy memberitahu, pada tahun ini karnival tersebut digabungkan buat julung kalinya dengan Karnival Tanah Pahang bagi membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan dan perkhidmatan berkaitan tanah secara terus.

Dalam majlis tersebut, beliau menerima cek replika bayaran cukai tanah daripada beberapa agensi termasuk Felda yang keseluruhannya bernilai lebih RM12 juta.

Sementara itu, mengulas mengenai program pemberian baucar minyak buat anak perantau Pahang, tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan 5,000 baucar bernilai RM50 setiap satu dengan peruntukan sebanyak RM250,000.

"Kali ini kita menyediakan 5,000 baucar untuk anak Pahang yang ingin pulang beraya dan ia sebagai tanda penghargaan kepada anak Pahang di perantauan yang ingin pulang ke kampung," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!