Menyiap kertas cadangan pascaijazah

TIGA orang pelajar datang ke rumah saya, bertanyakan bagaimana hendak menyediakan kertas cadangan dan seterusnya bagaimana hendak menulis tesis.
Ada yang dalam peringkat membuat ijazah sarjana, ada yang hendak menulis tesis kedoktoran. Rupa-rupanya sekarang ini masa terbuka bagi sesiapa pascaijazah untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Perkara pertama yang harus calon lakukan ialah menetapkan tajuk tesis. Tajuk mengikut pilihan calon. Begitu juga genre apakah yang digemarinya, novel, cerpen, puisi atau drama. Tajuk biasanya ia memikat, tepat, dinamik, baharu, kukuh dan ilmiah. Sebuah kajian tekstual juga memerlukan teori sastera. Justeru, calon boleh memilih teori yang dikuasainya, selari dengan tajuk dan genre pilihannya.
Sebagai persediaan kertas cadangan penyelidikan dan penulisan tesis, kerangkanya ialah tajuk, pendahuluan, latar belakang kajian, pernyataan permasalahan, tujuan, batas kajian, kajian lepas, pemilihan teori, kaedah kajian, bab tesis dan bibliografi. Setiap universiti berbeza kerangka cadangan akademiknya. Oleh itu, calon perlu menyesuaikannya dan fleksibel.
Antara yang terpenting ialah kajian pada pernyataan permasalahan, tujuan kajian dan pemilihan teori. Pernyataan permasalahan menghuraikan dasar utama kajian dan menjelaskan bahawa kajian itu bersifat baharu, autentik dan belum ada kajian sebelumnya. Tujuannya supaya ia memberi sumbangan kepada perkembangan keilmuan sastera tanah air.
Tujuan kajian menjelaskan apakah objektif dan keunikan subjek kajian. Biasanya mengandungi antara tiga kelima dasar tujuan penyelidikan. Tujuan juga sangat kuat hubungannya dengan teori yang menjadi pilihan.
Salah seorang calon yang datang, menerangkan dia akan membuat kajian tentang puisi. Telah memilih pengarangnya dan teks-teks puisinya cukup untuk dibuat kajian. Tajuk kajiannya ialah ‘Puisi Pengarang Kanimozhi Satu Kajian Teori Teksdealisme’.
Kanimozhi adalah penyair kontemporari Tamil yang terkemuka di tanah air. Beliau telah banyak menulis puisi dengan empat buah kumpulan dan banyak karya eceran. Calon ini meletakkan tiga tujuan tesis kedoktorannya.
Pertama, mengkaji aspek kehadiran dalam puisi Kanimozhi.
Kedua, menghuraikan prinsip perlanggaran dan pengukuhan karya.
Ketiga, menganalisis pencapaian kepengarangan berdasarkan kriteria Teori Teksdealisme.
Pemilihan teori harus selaras dengan objektif kajian. Kebetulan calon mengaplikasikan Teori Sastera Teksdealisme sebagai alat analisis tesisnya. Kepada sesiapa saja, di peringkat apa pun pengajian, sama ada penulisan projek sastera, latihan ilmiah dan tesis kesarjanaan, perkara utama ialah penguasaan teori. Dia kena mahir, hafal dan fasih dengan teori yang menjadi pilihannya. Tanpa penguasaan, bermakna dia akan menghadapi kesukaran.
Untuk menguasai teori, dia kena berguru dengan pakar teori. Teori Teksdealisme mempunyai empat prinsip kajian iaitu tentang kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan kepengarangan. Tiap-tiap satunya boleh menjadi satu bab kajian. Kesemua bab dihasilkan berdasarkan kepada objektif penulisan tesis itu. Tesis kedoktoran biasanya menyediakan tiga atau empat objektif yang perlu dihurai dan dianalisis. Contohnya:
Pertama, apakah sifat kehadiran dalam teks yang menjadi objek kajian.
Kedua, buktikan apakah berlaku unsur pelanggaran dalam penulisan pengarang.
Ketiga, nyatakan kewujudan unsur pengukuhan dalam penciptaan pengarang.
Keempat, menyatakan pencapaian kepengarangan menentukan keunggulannya.
Teori sastera sangat besar kedudukannya dalam penulisan akademik. Istana bagi teori sastera sebenarnya ialah di menara gading, bermukimnya penulisan akademik seperti projek, latihan ilmiah, tesis sarjana dan kedoktoran. Fungsinya sebagai alat penyelidikan dan wacana penulisan ilmiah, meletakkannya sebagai ilmu yang wajib dipelajari.
Rujukan
Sesebuah penulisan akademik, bertolak daripada fakta yang disandarkan pada hasil penyelidikan, sama ada sandaran rujukan atau pengalaman sendiri. Ia juga bersifat objektif kerana berdasarkan fakta dan kajian, bukannya agakan atau ramalan. Penulisannya berdasarkan isi, huraian dan kejapan. Prosedurnya faktual, konseptual dan bersistematik. Penulisan akademik bertolak pada suatu gagasan atau tesis. Dan yang lebih penting lagi ialah hujahan dan argumentasinya.
Penulisan akademik tidak bersifat emosional dan tidak memperlihatkan unsur-unsur prejudis. Tegasnya ia bersifat rasional. Sesuatu fakta bersebab dan logik. Membayangkan adanya tradisi berfikir kritis sesuai sebagai para ilmuwan. Oleh karena itu, penulisan akademik membawa ciri kritis sekali gus dapat berfungsi sebagai wahana penyampaian kritik timbal balik yang berkaitan dengan masalah dipersoalkan.
Sesebuah penulisan akademik bergerak pada sebuah subjek utama atau gagasan yang terhasil daripada pengamatan terhadap sesuatu fenomena, isu atau pemikiran. Subjek dan gagasan itu dihujahkan, juga diargumentasikan bagi meyakinkan, membenarkan dan mengunggulkan supaya ia dipercayai dan diterima serta kognitif sifatnya. Biasanya subjek dan gagasan itu disokong oleh beberapa persoalan yang lainnya, tetapi ia berkaitan dan berpusat.
Teori-teori sastera tempatan telah diterima, diyakini dan dipercayai dapat menggalas tugasan sebagai alatan wacana penulisan akademik. Kita telah memiliki puluhan, malah ratusan dalam penulisan kritikan dan esei sastera dalam memenuhi tuntutan tugasan kursus-kursus di pusat pengajian tinggi, menggunakan teori sastera tempatan.
Lazimnya, untuk kerja kursus pelajar dikehendaki memilih mana-mana teks sastera untuk dinilai, kebanyakannya pelajar itu memilih teori tempatan untuk melakukan kerja penilaiannya. Di peringkat pascaijazah ini menunjukkan bahawa kecenderungan pemilihan teori tempatan di paras tinggi, berbanding suatu masa dahulu, lebih kepada teori Barat. Kenyataan ini, tidak ditolak bahawa teori Barat masih ada yang menggemarinya.
Di peringkat kedoktoran teori berperanan lebih luas. Hasil kajiannya berjaya mencapai penguasaan dan pengaplikasian teori yang tinggi, juga dituntut peluasaan dan pengembangan teori digunakan. Tegasnya, berlaku apa yang diistilahkan sebagai retheoristic, pembinaan penteorian atau melakukan rekonseptualisasi dan modifikasi terhadap teori tersebut.
Dalam aspek kajian lepas pula, calon perlu memastikan kajian-kajian masa silam tentang tajuk yang dikaji. Calon menghuraikan secara dasar analisis dan dapatan kajian yang pernah dilakukan oleh pengkaji sebelum ini. Kajian lepas untuk menunjukkan calon menguasai subjek, kaedah dan dapatan yang akan diperoleh. Dengan itu untuk menunjukkan kajian calon adalah baharu dan berbeza dengan kajian sebelumnya.
Diharap tulisan ini dapat membantu sedikit sebanyak calon yang hendak menyiapkan kertas cadangannya dan juga dalam penulisan tesis seterusnya. Dijelaskan betapa pentingnya penetapan tujuan kajian dan pemilihan teori yang menjadi alat analisis dan kajian.
*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

