Orang politik main catur, rakyat kena ‘checkmate’

No Image Caption
A
A
A

SEJAK bermulanya permainan catur politik pada 23 Februari lalu, rakyat dihidangkan dengan wajah-wajah pemimpin elit politik yang tersengih-sengih membayangkan gerakan buah catur mereka berjaya memerangkap lawan.

Berlatarbelakangkan hotel mewah, mereka seolah-olah meraikan kejayaan namun masing-masing tidak dapat menyatakan dengan jelas apa sebenarnya yang diraikan.

Rakyat yang mahukan penjelasan mengenai apa yang berlaku terus terpaku di depan skrin telefon pintar masing-masing, tak lupa juga kaca TV, menantikan perkembangan terbaharu yang rasmi.

Dalam kekalutan maklumat di media sosial yang bercampur baur dengan propaganda, tohmahan, dakyah dan lawak jenaka, rakyat masih mengharapkan maklumat rasmi daripada organisasi media rasmi, baik arus perdana atau portal berita dalam talian.

Setelah tiada maklumat jelas apa yang berlaku, rakyat diberi kejutan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri hingga menyebabkan Kabinet terbubar secara automatik.

Kegilaan apakah ini? Dalam kekalutan ekonomi dan kebimbangan rakyat terhadap serangan wabak Covid-19, pemimpin elit politik pula jadi gila akibat diserang ‘kerusivirus’ hingga runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan.

Masing-masing elit politik mempertahankan tindakan mereka yang hendak jadi Perdana Menteri, yang keluar parti, yang keluar pakatan, yang hendak menubuhkan perikatan baharu dengan melaungkan bahawa semuanya dilakukan atas kepentingan rakyat, agama dan negara.

Dr Mahathir sendiri memberikan alasan untuk meletak jawatan kerana menganggap ia adalah tindakan terbaik untuk mengatasi kemelut politik yang melanda negara kerana pemimpin elit politik akan terus berpolitik untuk tembolok masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Namun yang menyebabkan rakyat meluat adalah alasan-alasan kononnya segala tindak-tanduk pemimpin elit politik ini adalah untuk kepentingan dan kebajikan rakyat padahal ketika perikatan mereka hampir menjadi majoriti di dalam Dewan Rakyat, masing-masing sudah terbayang habuan masing-masing sebagai menteri dan timbalan menteri.

Apabila angan-angan hancur jadi debu, mereka dengan pantas meratib ‘bubar Parlimen’ kononnya untuk beri rakyat peluang memilih kerajaan baharu dalam pilihan raya umum.

Sekali lagi rakyat diheret untuk memuaskan nafsu serakah politik mereka untuk mengadakan pilihan raya umum yang dianggarkan memakan kos sehingga RM800 juta sedangkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak stabil.

Dalam keadaan pemimpin politik elit di peringkat Persekutuan saling menyalahkan antara satu sama lain, kemelut politik terus melarat ke peringkat negeri dan menyebabkan ada kerajaan negeri yang tergantung kerana tiada pihak yang mempunyai majoriti.

Ada baiknya jika pemimpin elit politik mengambil contoh kerajaan negeri Kedah dan Perak yang mengambil inisiatif untuk mengekalkan komposisi pentadbiran kerajaan walaupun berlaku perbezaan politik di peringkat Persekutuan.

Ini menunjukkan mereka betul-betul menjaga kepentingan rakyat dan mandat yang diberikan dalam PRU-14.

Seperkara yang melegakan rakyat adalah apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunjukkan kebijaksanaan menangani kemelut dengan penuh hikmah apabila temu duga semua ahli Parlimen untuk mengetahui pandangan dan pilihan mereka siapa yang dipilih untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.

Walaupun keputusannya masih buntu, namun rakyat percaya Seri Paduka mampu membuat keputusan terbaik agar kerajaan Persekutuan baharu mampu dibentuk tanpa membebankan rakyat.

* Taufik Asmady Abdul Aziz ialah Ketua FWOD Sinar Harian