Penunggang parah tertusuk besi selepas motosikal terbabas

SIK – Seorang lelaki berusia 56 tahun parah apabila sebatang besi tertusuk di muka selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kampung Bukit Hangus, Jalan Jeneri, di sini pada pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Azlan Mahmood besi terbabit tertusuk sehingga ke kepala selepas motosikal jenis Honda EX-5 ditungganginya hilang kawalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 sebelum mengerahkan anggota dari BBP Sik ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati mangsa mengalami kecederaan serius dengan sebatang besi menembusi bahagian tepi muka sehingga ke kepalanya.
"Rawatan awal diberikan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sik oleh ambulans Yayasan Jariah Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, kerja pemotongan besi dilakukan di Hospital Sik dengan pemantauan pihak perubatan bagi mengurangkan risiko kecederaan lanjut.
“Operasi pemotongan besi sepanjang 0.6 sentimeter (sm) menggunakan peralatan khas berjaya diselesaikan jam 12.05 tengah hari.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

