Beza puasa Nabi Musa dengan Nabi Muhammad

Adalah salah jika beranggapan puasa sifatnya universal kerana puasa adalah ibadah yang disyariatkan oleh ALLAH. Gambar hiasan
Adalah salah jika beranggapan puasa sifatnya universal kerana puasa adalah ibadah yang disyariatkan oleh ALLAH. Gambar hiasan
A
A
A

FIRMAN ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Perintah kewajipan berpuasa ‘sebagaimana diwajibkan atas orang dahulu daripada kamu’ dalam ayat ini jelas menjurus kepada orang-orang yang beriman sahaja bukan yang menyekutukan ALLAH.

Justeru ayat al-Baqarah 183 ini berkait dengan ayat 142 surah al-A’raaf dan ayat 51 surah al-Baqarah yang menyentuh tentang puasa Nabi Musa AS selama 30 hari pada peringkat awal dan ditambah lagi 10 hari sehingga genap 40 hari berpuasa.

Kisah puasa Musa AS menurut al-Qurtubi 7/274 ada diceritakan dalam surah al-A’raaf ayat 142 yang bermaksud:

“Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi.”

ALLAH memerintahkan Nabi Musa AS berpuasa selama sebulan dan menyendiri dalam ibadah.

Setelah berpuasa Nabi Musa AS merasakan bau mulutnya berubah lalu bersiwak. Para malaikat berkata:

Artikel Berkaitan:

“Kami sebelumnya mencium dari mulutmu bau harum seperti kasturi tetapi engkau telah mengubahnya dengan bersiwak.”

Maka ditambahkan kepadanya sepuluh malam berikutnya dari bulan Zulhijjah, maka genaplah waktu yang telah ditentukan oleh ALLAH selama 40 malam.

Dalam Tafsir al-Munir 2: 129 satu riwayat kuat mengatakan Nabi Musa AS pernah berpuasa 40 hari ketika baginda meninggalkan kaumnya dan pergi ke bukit Thursina untuk menerima kitab Taurat dari ALLAH seperti dalam surah al-Baqarah ayat 51.

Menurut al-Tabari 1/740 Musa AS kekal berada di Thursina selama 40 malam, lalu ALLAH menurunkan kepadanya Taurat dalam bentuk alwah (kepingan batu) ketika baginda sedang berkhalwat dan bermunajat.

ALLAH mengajak Nabi Musa AS berbicara sampai baginda mendengar bunyi geseran pena dan baginda juga tidak berhadas selama 40 malam.

Justeru, menurut al-Qurtubi lagi An-Naqqash berkata: Dalam ayat 51 surah al-Baqarah terdapat isyarat tentang puasa berterusan yang dilakukan oleh Nabi Musa AS, kerana ALLAH hanya menyebut ‘hari-hari’ sahaja, mungkin akan difahami bahawa puasa tersebut dilakukan pada siang hari sahaja.

Namun, ketika ALLAH secara jelas menyebut ‘malam-malam’, maka hal ini menunjukkan bahawa Nabi Musa AS menyambung puasanya selama 40 hari berserta malam-malamnya sekali tanpa berbuka pada malam hari sama seperti ayat 142 al-A’raaf.

Ini menjadi dalil dalam beberapa keadaan, puasa tanpa berbuka dilakukan oleh para nabi, namun dilarang oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya.

Menurut Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir 2:129 majoriti ulama tafsir berpendapat persamaan dengan puasa umat terdahulu hanyalah dari aspek kefarduan puasa dalam erti kata umat terdahulu beriman kepada ALLAH dan Rasul maka mereka juga wajib berpuasa.

Firman ALLAH dalam surah Yunus ayat 87 yang bermaksud:Dan (setelah itu) Kami wahyukan kepada Nabi Musa AS serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya yang menyekutukan ALLAH).”

Menurut catatan al-Tabari, Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS turut mendirikan solat lima waktu.

Al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma’ani 3/121 merumuskan ‘orang terdahulu’ adalah para nabi dan umat sejak zaman Nabi Adam AS hingga hari ini.

Menurut Ibnu ‘Ashyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir 2/157, Yahudi memiliki ibadah puasa yang telah disyariatkan oleh ALLAH kepada Nabi Musa AS seperti puasa hari 10 bulan ketujuh dalam bulan yang mereka namakan Tishri.

Puasa ini bermula dari terbenamnya matahari pada hari kesembilan hingga terbenamnya matahari pada hari kesepuluh.

Kaum Nasrani, dalam syariat mereka tidak ada teks yang secara khusus mensyariatkan puasa tambahan selain yang disebut dalam Taurat.

Oleh kerana itu, mereka mengikuti puasa orang Yahudi. Kemudian, para pendeta Nasrani menokok tambah dan menetapkan puasa 40 hari, mencontohi Nabi Isa AS yang dikatakan berpuasa selama 40 hari sebelum diutus sebagai nabi seperti mana termaktub dalam bible Matius 4:2-3 (Alkitab Terjemahan Baharu).

Menurut al-Maturudi dalam tafsirnya Ta’wilat Ahlu Assunnah 2/26: Dalam seruan “wahai orang yang beriman” terdapat dua perkara pokok, pertama: ALLAH menyeru orang yang beriman, agar orang yang mendengar memahami bahawa nama yang disebut itu merujuk kepada orang beriman.

Tujuannya agar tidak ada seorang pun yang menyangka dirinya dikecualikan dari hukum yang datang selepas seruan tersebut dengan anggapan dia tidak memenuhi syarat untuk layak disebut sebagai mukmin.

Selain itu, jika ALLAH tidak berfirman: “Wahai orang yang beriman, barangkali kamu akan berkata: “Kami telah beriman kepada Rasulullah SAW.”

Kedua: Khususnya ibadat tersebut bagi orang yang beriman dalam erti kata ALLAH mengkhususkan ibadah tertentu kepada orang-orang yang beriman, kerana ibadah tersebut tidak diwajibkan ke atas orang yang tidak beriman.

Atas dasar itu, menurut al-Sya’rawi 2/89 perintah puasa tertakluk kepada orang yang beriman sahaja kerana hanya orang Islam yang dipertanggungjawabkan melaksanakan ibadat tersebut.

Pendapat yang sama turut diakui oleh tokoh-tokoh tafsir muktabar seperti al-Tabari, al-Qurtubi, Ibnu Kathir dan al-Razi.

Rumusan, adalah salah jika beranggapan puasa sifatnya universal kerana puasa adalah ibadah yang disyariatkan oleh ALLAH.

Namun puasa wujud dalam amalan menyekutukan ALLAH dulu dan kini, tetapi kewajipan puasa dalam Islam menjurus kepada orang yang beriman sahaja. Hal ini kerana puasa mempunyai tujuan yang jelas untuk mencapai puncak takwa.

Atas dasar itu puasa disyariatkan kerana syariat tanpa pedoman dari para rasul tidak memberikan apa-apa makna di sisi ALLAH.

Justeru, ibadah hanya dapat diterima ALLAH jika memenuhi dua syarat, pertama ibadat yang dilakukan ikhlas semata-mata hanya kerana ALLAH.

Kedua, ia dilakukan dengan cara yang betul sesuai seperti mana dipraktikkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika berpuasa pada bulan Ramadan.

* Datuk Mohamad Din Yusoh ialah seorang tokoh agama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!