Mazda CX-5 tak dapat, peniaga rugi lebih RM100,000

KUANTAN - Seorang peniaga mengalami kerugian RM119,072 selepas terpedaya dengan urusan penjualan kenderaan tidak wujud melalui iklan di laman sosial Facebook pada 6 Mac lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 38 tahun tertarik dengan iklan jualan kenderaan jenis Mazda CX-5 dan menghubungi individu yang dipercayai suspek melalui aplikasi WhatsApp.
"Mangsa telah diminta membuat pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza sehingga mengalami kerugian sebanyak RM119,072.27.
"Selepas bayaran dibuat, suspek bertindak memadam akaun Facebook dan menyekat nombor aplikasi WhatsApp mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu dan sumber kerugian adalah wang simpanan milik lesap.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan penjualan tawaran murah.
Tegasnya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https:// semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

