Visa digantung sementara: Puluhan ribu jemaah terjejas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 15,000 hingga 20,000 jemaah Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Mac dijangka terjejas berikutan pendaftaran visa dalam talian disekat sejak tengah hari tadi.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, setakat ini, tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura, didapati telah disekat pendaftaran visa dalam talian.

Beliau berkata, bakal jemaah yang gagal mendapatkan visa tidak akan dapat menunaikan ibadat berkenaan.

"Yang terjejas itu, kalau bulan Mac sahaja dalam 15,000 hingga 20,000 jemaah. Pagi tadi visa boleh buat, cuma tengah hari sudah tidak boleh lagi.

"Kita semak dalam jam 8 pagi tiada masalah, tapi dalam tengah hari tadi sudah tidak boleh buat visa, sekarang ini online. Tapi saya dengar tiga negara sudah terkeluar iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya di sini hari ini.

Razali berkata, kira-kira 3 petang tadi, beberapa penerbangan yang sepatutnya dinaiki oleh jemaah umrah dari Malaysia telah dibatalkan setelah menerima arahan daripada kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Luar negara itu mengambil keputusan untuk menggantung sementara pengeluaran visa umrah sebagai usaha pencegahan berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi gantung sementara visa umrah

Artikel Berkaitan:

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bagi memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap keselamatan penduduk dan setiap individu yang berhasrat mengunjungi Arab Saudi bagi tujuan mengerjakan umrah atau menziarahi Masjid Nabawi atau sekadar melancong.

“Prosedur ini hanya bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian semasa pihak berkuasa Arab Saudi,” jelas kenyataan itu.-Bernama