X

Kindly register in order to view this article
!

Bayaran BSH diawalkan: Tun M

MAHATHIR
A
A

PUTRAJAYA - Bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM200 yang dijadualkan pada Mei ini akan diawalkan.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bayaran itu akan dibuat Mac depan.

"Kerajaan juga akan membayar RM100 tambahan kepada setiap penerima BSH dan dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei.

"Tambahan seterusnya RM50 akan disalurkan menerusi e-Tunai," katanya pada sidang media Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di sini hari ini.

Selain itu, kerajaan mengumumkan pemberian elaun khas RM400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan dalam memerangi koronavirus (Covid-19).

"Bantuan elaun khas RM200 turut diberikan kepada kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia dan kakitangan lain yang terlibat," katanya.

Beliau berkata, elaun khas berkenaan berkuatkuasa Februari ini sehingga wabak berakhir.

Mengakui kadar ketibaan pelancong yang berkurangan, beliau berkata, ia telah memberi impak negatif kepada pihak yang bergantung kepada industri pelancongan.

"Sebanyak RM600 sebagai bayaran secara one-off diberikan kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak Covid-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal.

"Sehingga kini Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak berkenaan," katanya.

Menurutnya, bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, kerajaan menyalurkan RM10 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan.

"Ia bagi membolehkan harga barangan dapat dikurangkan," katanya.

Selain itu, geran RM1,000 diberikan kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan mereka di dalam platform e-dagang.

"Kerajaan juga bersetuju memberi peruntukan tambahan RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation," katanya.

Beliau berkata, untuk meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan, kerajaan komited bagi memastikan kesinambungan pelaburan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan tahun ini.

"Sebagai tambahan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi awam akan mempercepatkan projek pelaburan termasuk akan membuka bidaan janakuasa tenaga solar 1,400MW.

"Ini akan melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja," katanya.

Dr Mahathir berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.

"Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM13 bilion termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus