Perak mahu bincang teruskan penerbangan Ipoh-Singapura

IPOH - Kerajaan Perak berhasrat mahu mengadakan perbincangan dengan Syarikat Penerbangan AirAsia bagi meneruskan operasi penerbangan laluan Ipoh-Singapura yang diputus untuk dihentikan berkuat kuasa 25 April ini.
Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pertemuan itu penting bagi mendapatkan maklum balas terhadap keputusan tersebut.
"Jika dibandingkan dengan Scoot dari Singapura, dengan empat kali penerbangan boleh dikatakan penuh (penumpang), begitu juga dengan AirAsia.
"Mungkin ada sebab lain jadi kita akan berbincang untuk teruskan (penerbangan) kerana kita hendak tahu sebab apa? Yang ada hanya Ipoh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor sahaja.
"Sekiranya dimaklumkan faktor pemberhentian itu, kerajaan boleh bantu supaya perjalanan Singapura ke Ipoh dapat diteruskan. Perbincangan ini akan dilaksanakan oleh Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee," katanya selepas merasmikan program 'pandu berhati-hati selamat di Aidilfitri' di AEON Big Falim di sini pada Khamis.
Terdahulu, AirAsia mengumumkan akan menggantung operasi 17 perkhidmatan mereka termasuk laluan Ipoh-Singapura di LTSAS yang beroperasi sejak Disember 2018 bagi menyemak serta menyelaraskan operasi syarikat.
Kerajaan Perak bagaimanapun meminta Syarikat Penerbangan AirAsia mempertimbangkan semula keputusan itu dan berharap penggantungan tersebut hanyalah pendekatan sementara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
