Hijrah bersama resipi 100 tahun nenek bawa rezeki

MACHANG - Penghijrahan dari Negeri Sembilan ke Kelantan tujuh tahun lalu bersama resipi masak lemak salai cili api Rembau, membawa rezeki buat seorang warga emas, terutamanya ketika Ramadan.
Kamarul Zaini Mohd Khalid atau lebih mesra dipanggil Poksu, 63, berkata, lebih istimewa, resipi berusia lebih 100 tahun turun-temurun daripada neneknya itu digemari pelanggannya yang datang dari seluruh Kelantan.

Menurut Poksu, sepanjang Ramadan dia tidak menang tangan kerana gerai kecilnya di bawah pokok bersebelahan stesen bas baharu di bandar Machang itu tidak putus-putus dikunjungi pelanggan yang ingin menikmati masakannya.
"Pada hari biasa saya akan mula menyalai pada jam 2 pagi dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk siap, namun ketika Ramadan proses ini dilakukan seawal jam 10 pagi.
"Antara menu masak salai yang saya sediakan ialah daging, itik, ikan keli, kambing dan ayam," katanya.

Kata Poksu lagi, mengikut resipi asal neneknya, proses menyalai dilakukan selama tiga hari sebelum dimasak bagi membangkitkan aroma.
"Bagaimanapun, resipi masak lemak salai ini diubah sesuai dengan cita rasa masyarakat Kelantan dan tak terlalu pedas," ujarnya.
Jelasnya, proses memasak pula dilakukan isterinya, Muzlina Yusoff, 48, dan setiap hari mereka menggunakan kira-kira 30 kilogram (kg) santan pekat untuk 20kg daging, empat ekor itik, 5kg kambing dan beberapa ekor ayam bergantung pada permintaan.
Datuk kepada seorang cucu itu memberitahu, walaupun berdepan peningkatan harga santan namun dia tetap memastikan kuah masakan salainya pekat kerana mahu mengekalkan rasanya.
Kata warga emas itu lagi, keistimewaan masakan salainya ialah aromanya yang wangi kerana setiap lauk dipastikan disalai betul-betul kering dan tidak kemerah-merahan.
"Menyalai tidak boleh dilakukan sambil lewa kerana boleh menghilangkan selera untuk dinikmati dan proses memasak dengan santan juga dilakukan kira-kira satu jam," katanya.
Poksu berkata, pada mulanya dia sukar mendapat pelanggan, mungkin kerana masyarakat di Kelantan belum biasa dengan rasa masak lemak salai.
"Hampir dua tahun Poksu bersabar menanti dengan yakin dan kini ramai pelanggan mula menggemari menu salai Rembau ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
