PRU16: MB Negeri Sembilan dicabar bertanding di DUN Labu

Mohamad Hanifah mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kawasan DUN Labu pada PRU16 akan datang.
Mohamad Hanifah mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kawasan DUN Labu pada PRU16 akan datang.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu itu berkata, cabaran berkenaan dilontarkan memandangkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan itu merupakan bapa angkat DUN berkenaan.

"Menteri Besar jadikan Labu ini sebagai DUN angkat. Jadi saya rasa lebih baik beliau bertanding di Labu pada pilihan raya akan datang.

"Biar Pengerusi PKR berlawan dengan Pengerusi PN di Labu, saya sedia tidak akan lari ke mana-mana. Insya-ALLAH kami (PN) akan mengambil alih Negeri Sembilan pada pilihan raya akan datang," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Parti Pribumi Bersatu Negeri Sembilan di sini pada Ahad

Pada masa sama, beliau turut menyatakan keyakinan yang PN akan berjaya merampas kerusi PKR di DUN Sikamat, Ampangan dan Kuala Pilah.

Jelasnya, ia mengambil kira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang menunjukkan PN kalah dengan majoriti tidak besar.

"Di Kuala Pilah, PN lawan 1-1 dengan PKR dan kami hanya kalah 1,079 undi sedangkan di kawasan Melayu, kami menang hampir semua PDM.

"Di Ampangan, kita kalah hanya dengan 329 majoriti dan di Sikamat beza 2,122 undi saja dan sebab itu, kami yakin merampas ketiga-tiga kerusi ini," katanya.

Selain itu katanya, PN turut menyasarkan merampas dua kerusi DUN di Parlimen Port Dickson yang salah satunya DUN Sri Tanjung.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu ujar Hanifah, melihat kepada situasi politik terkini, beliau yakin pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

"Melihat situasi terkini, mustahil kerajaan nak tunggu lebih lama, bermaksud mereka mencari maut.

"Kami PN dan Bersatu sentiasa bersiap sedia kalau pilihan raya berlaku pada bila-bila," katanya.

Pada PRN lalu, Aminuddin menang dalam pertembungan empat penjuru di DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 manakala Mohamad Hanifah menang di DUN Labu dengan majoriti 1,640 dalam pertembungan dua penjuru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!