Faisal Halim kembali tersenarai dalam pasukan Harimau Malaya

[DIKEMAS KINI] KEM latihan pusat menjelang perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal akan menyaksikan semula kemunculan pemain sayap lincah, Faisal Halim menyarung jersi Harimau Malaya.
Perkara itu disahkan oleh pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski pada sidang akhbar mengumumkan senarai 27 pemain yang akan bersama Harimau Malaya untuk perlawanan menetang Nepal.
Ckalmovski berkata, dia bertindak memanggil Faisal selepas memantau pemain itu ketika beraksi bersama Selangor FC minggu lalu.
"Melihat kepada profil semua pemain, dia pemain yang positif dan menarik di atas padang.
"Saya menilai dia minggu lalu dan saya melihat kesungguhan yang dipamerkan. Saya lihat dalam matanya dan nampak keinginan serta sudah bersedia untuk beraksi dengan Harimau Malaya.
"Sebab itu dia berada dalam pasukan kali ini," katanya.
Faisal sebelum ini menjadi antara tonggak utama dalam pasukan Harimau Malaya namun kecederaan akibat menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu menyaksikan dia terpaksa berehat panjang.
Pemain lincah itu turut berdepan cabaran untuk kembali ke prestasi terbaiknya dan hatrik yang dilakukan ketika menentang Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super pada Ahad menyaksikan Faisal mula mendapat sentuhan seperti dahulu.
Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya akan bermula Isnin ini di Johor Bharu sebelum menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!