'Tak perlu gelabah, Harimau Malaya ada strategi tersendiri'

PEMINAT Harimau Malaya diminta tidak gelisah walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengumumkan senarai nama pemain bagi menghadapi perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pengurusan Harimau Malaya sudah tentu mempunyai strategi tersendiri terutama dalam usaha membentuk pasukan yang ampuh bagi mengharungi perlawanan itu nanti.
Menurutnya, peminat perlu bersabar dan memberikan ruang kepada pengurusan Harimau Malaya untuk melakukan kerja mereka selain mungkin ada unsur kejutan yang bakal disajikan skuad kebangsaan.
"Tak perlu kita nak panik. Mereka juga ada strategi kenapa tak umum awal. Mungkin ada kejutan yang kita tak tahu dan sebagai peminat kita kena tunggu.
"Sudah tentu pengurusan Harimau Malaya sedang merencana dan menilai pemain yang sesuai untuk dipanggil dan tidak salah untuk mereka masih berahsia.
"Apa yang kita mahukan sebuah pasukan yang mantap dan saya yakin itu yang pengurusan skuad negara sedang usahakan," katanya kepada Sukan Sinar.
Peminat tertanya-tanya mengenai persiapan pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan menentang Nepal yang akan berlangsung pada 25 Mac di Stadium Sultan Ibrahim.
Ia selepas FAM masih berteka-teki mengenai senarai pemain meskipun tempoh persiapan hanya berbaki 14 hari yang dilihat cukup singkat untuk melakukan persiapan rapi.
Malah, Nepal yang berada di ranking ke-175 dunia sudah pun memulakan latihan lebih awal di bawah pengendali baharu dari Australia, Matt Rose.
Dalam pada itu, Jamal Nasir percaya sentuhan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski akan membuahkan hasil positif apabila Nepal menjadi ujian pertama selepas dilantik pada 16 Disember lalu.
"Ia menjadi cabaran besar untuk Cklamovski untuk memburu keputusan positif. Namun, kita dapat lihat dia telah turun menyaksikan perlawanan liga untuk menilai setiap pemain. Jadi, sudah tentu ada gambaran yang dia mahukan dalam membentuk pasukan kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
