Guru tadika panik, pencuri larikan kereta bersama anak perempuan

SHAH ALAM – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila keretanya dilarikan individu tidak dikenali ketika anak sulungnya berusia enam tahun masih berada di dalam kenderaan itu dalam kejadian di Setia Alam, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kejadian kira-kira jam 6.55 pagi itu berlaku di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah pusat asuhan ketika guru tadika berusia 34 tahun terbabit menghantar anak keduanya ke situ.
Beliau berkata, masa sama wanita itu meninggalkan anak sulungnya yang sedang tidur di dalam kereta jenis Toyota Vios berkenaan dengan enjin masih hidup dan pintu tidak berkunci.
"Sebaik keluar dari pusat asuhan, mangsa terkejut apabila mendapati kenderaannya serta anak perempuannya berumur enam tahun yang turut berada di dalam kenderaan itu telah tiada.
"Wanita itu kemudian segera mendapatkan bantuan orang awam sebelum menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, pada jam 7.45 pagi, anak mangsa telah dijumpai semula bersama kereta yang dicuri berdekatan kawasan pangsapuri yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati suspek terlibat merupakan seorang lelaki tempatan dipercayai ingin mencuri kenderaan berkenaan dan masa sama anak mangsa turut berada di dalamnya tanpa disedari suspek.
"Suspek dipercayai terkejut mendengar anak mangsa menangis dan terus memberhentikan kenderaan itu serta bertindak mengambil beg tangan mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua telefon bimbit bernilai lebih kurang RM2,000 sebelum melarikan diri," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan terhadap kanak-kanak itu mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serta tidak diapa-apakan suspek.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560 bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

