Yemen kembali sasar kapal Israel

SANAA - Yemen pada Rabu menyambung semula operasi ketenteraan menyasarkan kapal Israel di laluan maritim utama di rantau Asia Barat selepas Tel Aviv melepasi tarikh akhir ditetapkan supaya menarik balik sekatan terhadap penghantaran bantuan ke Gaza.
Angkatan Bersenjata Yemen mengumumkan serangan itu adalah berdasarkan dekri dikeluarkan Abdul-Malik al-Houthi yang memimpin gerakan Huthi.
Sebelum ini, al-Houthi memberi tempoh selama empat hari kepada Israel supaya membuka semula lintasan sempadan ke Gaza, namun pihak musuh gagal berbuat demikian.
“Sanaa akan tetap meneruskan sokongan terhadap penduduk Palestin. Kesemua kapal Israel dilarang melalui zon operasi meliputi Laut Merah, Laut Arab, Selat Bab al-Mandab dan Teluk Aden berkuat kuasa serta-merta,” jelas Angkatan Bersenjata Yemen dalam satu kenyataan.
Sejak November 2023, Huthi telah melancarkan lebih 100 serangan ke atas kapal yang ada kaitan dengan Zionis sebagai tanda solidariti dengan Palestin yang berdepan perang genosid di Gaza. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!