Selepas terima BBEA, Creative Creed mahu tembusi pasaran Asia Barat

Bumiputera Business Excellence Award menjadi pembakar semangat kepada Creative Creed Associates.
Bumiputera Business Excellence Award menjadi pembakar semangat kepada Creative Creed Associates.
A
A
A

KEJAYAAN diiktiraf sebagai penerima Bumiputera Business Excellence Award menjadi pembakar semangat kepada Creative Creed Associates untuk terus berkembang maju di dalam dunia perniagaan.

Pengarah Urusannya, Syaiful Bakhtiar Salim berkata, penganugerahan itu menjadikannya lebih komited untuk memastikan syarikatnya mampu untuk berdiri sama tinggi dengan syarikat lain di negara ini, malah mungkin mampu menyaingi syarikat antarabangsa.

“Saya mempunyai impian dan aspirasi untuk menjadikan syarikat ini sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan acara terkemuka di negara ini.

“Alhamdulillah, walaupun mempunyai pelbagai ranjau dan duri, kami mampu capai ke tahap ini hasil kerja kuat setiap daripada warga syarikat ini,” katanya yang menyediakan perkhidmatan pengurusan acara.

Creative Creed diberi anugerah itu untuk kategori perniagaan pengurusan acara.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) menyampaikan anugerah Bumiputera Business Excellence Award kepada Creative Creed Associates
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) menyampaikan anugerah Bumiputera Business Excellence Award kepada Creative Creed Associates

Ia disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Bercerita mengenai wawasan dan perancangan syarikatnya, Syaiful berkata, beliau kini sedang merangka untuk memasuki pasaran di negara Asia Barat.

Artikel Berkaitan:

“Umum mengetahui bahawa negara-negara di Asia Barat sedang giat mempromosikan produk pelancongan mereka dan menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa untuk menarik pelancong ke sana.

“Kami tidak mahu lepaskan peluang memasuki pasaran di sana dan saya yakin kami mampu melakukan yang terbaik sekali gus memastikan aspirasi ini dapat dicapai,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Syaiful, tidak ramai Bumiputera menyertai perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan pengurusan acara sepertinya.

“Kerana itulah, kejayaan ini menaikkan semangat kami untuk bersaing dengan syarikat lain malah berjaya di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Syaiful turut mengucapkan penghargaan kepada agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan dan syarikat swasta yang memberi kepercayaan kepada syarikatnya untuk memberi perkhidmatan kepada mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!