Mangsa banjir di Sabah kekurangan bekalan air bersih

BEAUFORT – Banjir yang melanda di Beaufort, Membakut, Keningau, dan Tenom menyebabkan penduduk bukan sahaja terputus bekalan makanan tetapi juga bekalan air bersih untuk kegunaan harian.
Penduduk yang terjejas terpaksa bergantung sepenuhnya kepada air minuman yang dibeli di kedai berhampiran dan mengeluarkan belanja yang tinggi untuk tujuan tersebut.
Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) harus segera mengatasi masalah ketiadaan bekalan air bersih yang dialami penduduk terjejas banjir di empat daerah tersebut.
Katanya, ketika ini bekalan air mineral tidak mencukupi untuk menampung jumlah permintaan penduduk terjejas banjir.

"Masalah kekurangan bekalan air bersih ini sudah berlarutan selama seminggu, tolonglah bantu. Penduduk di kawasan terjejas banjir sangat memerlukan bekalan air bersih untuk meneruskan kehidupan harian mereka.
"Sehingga kini, walaupun mangsa banjir semakin berkurangan kepada 2,655 orang membabitkan tiga daerah yang terjejas, keperluan untuk mendapatkan air bersih masih sangat mendesak setiap hari," katanya selepas melawat mangsa banjir di sini.
Awang Aslee yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, beliau mengesahkan bahawa setakat ini daerah Keningau dilaporkan sangat kritikal menghadapi ketiadaan bekalan air bersih.
"Penduduk tiada pilihan lain selain bergantung sepenuhnya kepada bekalan air mineral, menyebabkan mereka terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bersih.
"Saya juga difahamkan bahawa bekalan air yang dijual di Keningau tidak mencukupi berikutan penduduk berpusu-pusu membeli bagi menampung keperluan harian mereka," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, jika tiada tindakan diambil oleh pihak JANS, keadaan ini berkemungkinan besar akan berlarutan dan menambah kesulitan penduduk yang sudah ditimpa bencana banjir.
"Tolong fahami keadaan penduduk kerana ketika ini pun musim Ramadan, jadi keperluan untuk mendapatkan bekalan air bersih sangat penting," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas keadaan banjir di sekitar Beaufort, Awang Aslee berkata banjir kini semakin beransur pulih, namun masih ada rumah yang digenangi air.
"UMNO Bahagian Beaufort sedang menyalurkan bakul makanan dan air bersih kepada mangsa serta melakukan lawatan kepada penduduk yang terjejas.
"Malah, rumah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, turut dilanda banjir. Namun, beliau bersama kita tetap membantu dan menyantuni mangsa banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
