Geng pecah rumah di Johor tumpas

BATU PAHAT - Empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket pecah rumah di sekitar Senggarang, Rengit dan Batu Pahat sejak Januari lalu diberkas dalam satu operasi khas polis pada 4 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 31 tahun itu ditahan dalam empat siri serbuan yang dijalankan bermula jam 2 petang di tiga lokasi sekitar Rengit dan Batu Pahat.
“Siasatan mendapati kumpulan ini menyasarkan rumah serta premis yang tidak berpenghuni sebelum memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan berharga.
"Polis turut merampas pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka termasuk jam tangan, gelang tangan, telefon bimbit, peralatan elektrik dan tabung derma.
“Turut ditemukan peralatan yang digunakan untuk pecah rumah seperti pemotong besi, gergaji rantai, tukul besi dan kuku kambing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif Methamphetamine selain mempunyai 26 rekod jenayah lampau.
“Dengan tertumpasnya sindiket ini, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes pecah rumah dan curi yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

