Dua kapal terbakar selepas berlanggar, 32 mangsa dilaporkan cedera

Dua kapal bertembung di Laut Utara, Atlantik hingga cetus kebakaran.
Dua kapal bertembung di Laut Utara, Atlantik hingga cetus kebakaran.
A
A
A

LONDON - Operasi menyelamat besar-besaran sedang giat dijalankan selepas perlanggaran antara kapal tangki minyak dan kapal kargo di Laut Utara, Atlantik, pada Isnin telah mencetuskan kebakaran hingga menyebabkan 32 orang dilaporkan cedera.

Pengarah Pelabuhan Grimsby, Martyn Boyers berkata, sekurang-kurangnya tiga kapal digunakan untuk membawa mangsa cedera ke darat bagi mendapatkan rawatan segera.

“Ambulan dan pasukan penyelamat juga menunggu di pelabuhan untuk memberikan rawatan kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap Coastguard, Pengawal Pantai United Kingdom (UK) sedang menyelaraskan operasi menyelamat selepas menerima laporan mengenai perlanggaran kapal terbabit.

Jurucakap itu turut memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan penilaian risiko pencemaran susulan insiden berkenaan.

Dalam pada itu, perlanggaran kapal di Laut Utara jarang berlaku namun kemalangan tersebut mengingatkan kembali beberapa tragedi yang pernah berlaku sebelum ini.

Pada Oktober 2023, perlanggaran antara dua kapal kargo iaitu Verity dan Polesie berhampiran Pulau Heligoland, Jerman telah mengorbankan tiga nyawa manakala dua lagi kru kapal masih hilang.

Pada 2015 pula, kapal pengangkut ‘Flinterstar’ karam selepas bertembung dengan kapal tangki Al Oraiq di perairan Belgium.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan langkah keselamatan diperketatkan bagi mengelakkan insiden serupa berulang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!