Personaliti media sosial kongsi perubahan hidup selepas peluk Islam

PERSONALITI media sosial, model dan pelakon, Brittany Renner baru-baru ini berkongsi perubahan besar yang berlaku dalam hidupnya selepas memeluk agama Islam pada Ogos 2024.
Memiliki lebih 4.6 juta pengikut di media sosial, Brittany yang tampil menawan menggayakan hijab menjawab pertanyaan mengapa dirinya memilih untuk mengikut ajaran Islam.
Menerusi satu video berdurasi hampir dua minit yang dimuat naik di Instagramnya, wanita berusia 32 tahun itu menceritakan mengenai perjalanan rohani dan perubahan besar dalam hidupnya sejak memeluk Islam.
“Sebelum ini, saya menyertai Instagram pada Julai 2012 dengan dua matlamat: mencari populariti diri dan perhatian lelaki, tetapi kini tidak lagi.
"Saya mencari kebenaran sepanjang hidup, mencari panduan. Melihat kepada bintang, astrologi, numerologi tetapi kebenaran sebenarnya adalah panduan daripada Tuhan. Jika kita tidak hidup kerana Tuhan, kita hidup untuk orang lain. Hidup saya telah menjadi refleksi perkara itu,” kongsinya.
Menurut Renner, setelah beliau memeluk Islam terdapat beberapa perkara yang menarik untuk dikongsi yang disifatkannya sebagai pencapaian hidup yang baharu.
“Saya sudah tidak minum alkohol. Ini adalah proses penyucian yang sangat indah buat saya, tidak hanya dari segi tubuh badan, tetapi juga minda, hati dan jiwa. Ia memberi saya peluang untuk mengenali diri saya dengan lebih mendalam," katanya lagi.
Tambah Renner, sepanjang proses ini, dia telah menyedari bahawa dirinya sebenarnya berhak untuk merasai kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup. Bahkan, dengan memakai hijab, Renner percaya bahawa siapa yang sepatutnya melihatnya, akan melihatnya dengan niat yang betul.
“Saya rasa bebas. Saya tidak tergolong dalam 'penipuan' dunia ini. Dunia ini tidak memberi saya kegembiraan dan ia juga tidak boleh merampasnya daripada saya. Alhamdulillah,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Pada video yang dimuat naik pada September lalu, Renner turut menceritakan bahawa hidupnya berubah sepenuhnya sejak memeluk Islam.
"Saya tidak tahu di mana saya akan tinggal atau bagaimana saya akan menyara kehidupan anak saya. Tetapi saya percaya ALLAH telah membantu saya melalui banyak cabaran, dan saya yakin Dia akan terus memberi petunjuk dalam perjalanan hidup saya,” katanya penuh harapan.
Brittany Renner kini lebih fokus pada kehidupannya dan berharap untuk berkongsi lebih banyak perkembangan positif dengan peminat-peminatnya dalam masa terdekat. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!