Projek pembesaran LTAPP ikut jadual - Exco

BAYAN LEPAS - Projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kini berjalan lancar dengan kemajuan ketara dalam pelbagai aspek pembinaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek itu merangkumi tiga pakej kerja utama yang bertujuan meningkatkan infrastruktur serta kapasiti operasi lapangan terbang, selaras dengan usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai hab penerbangan serantau yang lebih berdaya saing.
Menurutnya, Works Package 1 (WP1) yang dianugerahkan kepada Gagasan Maya Sdn Bhd pada September 2024 kini telah mencapai 31 peratus kemajuan fizikal, sehingga 15 Februari lalu.

"Pakej bernilai RM107.9 juta itu dijangka siap menjelang November tahun ini.
“WP1 melibatkan pembinaan beberapa infrastruktur penting termasuk bangunan sokongan, Menara Kawalan Trafik Udara (ATC), pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pos Kawalan Keselamatan Penerbangan (AVSEC),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kata Zairil, LTAPP juga bakal mencipta sejarah sebagai lapangan terbang pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi Menara Maya Digital Jauh (RDVT), sekali gus meningkatkan kecekapan kawalan lalu lintas udara di lapangan terbang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menambah, Works Package 2 (WP2) dijangka memulakan pembinaan fizikal pada pertengahan April ini.
"Projek bernilai RM254.6 juta yang dianugerahkan kepada Acre Works Sdn Bhd pada Disember lalu akan menumpukan kepada kerja-kerja menaik taraf apron lapangan terbang, laluan teksi pesawat, sistem saliran udara serta pemindahan utiliti.

"Dalam perkembangan berkaitan, tender untuk Works Package 3 (WP3) dijangka dibuka pada April ini. Pakej itu merangkumi pembinaan terminal baharu serta pengubahsuaian terminal sedia ada yang melibatkan kerja-kerja infrastruktur tempatan, perkhidmatan bangunan serta reka bentuk dalaman," jelasnya.
Beliau berkata, terminal baharu tersebut dijangka beroperasi pada 2027 manakala keseluruhan projek perlu disiapkan sepenuhnya menjelang 2028.
"Projek pembesaran ini dilihat sebagai langkah strategik dalam menampung peningkatan jumlah penumpang di LTAPP selain memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama di rantau ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

