Tradisi kerohanian paksi ketamadunan

Kerajaan Selangor sejak dua tahun lalu telah menggerakkan usaha menyemarakkan penghayatan kerohanian Islam menerusi program Festival Turath Islami dan Darul Ehsan Berselawat
Kerajaan Selangor sejak dua tahun lalu telah menggerakkan usaha menyemarakkan penghayatan kerohanian Islam menerusi program Festival Turath Islami dan Darul Ehsan Berselawat
A
A
A

KINI tiba waktunya kita menyambut kedatangan Ramadan. Setiap kali datang bulan puasa, saya sering teringat tentang amalan yang pernah suatu waktu dulu menjadi tradisi turun-temurun di daerah perkampungan.

Sepanjang bulan puasa, anak-anak ke surau berbuka bersama orang dewasa. Setelah berbuka, orang dewasa mengerjakan solat tarawih berjemaah, bertadarus, berzikir, dan bermunajat.

Sementara anak-anak pula duduk berlingkar bertadarus al-Quran bergilir-gilir. Terutama sewaktu cuti sekolah, anak-anak lelaki bermalam di surau untuk menyertai orang dewasa mengerjakan qiamullail.

Setelah subuh, barulah mereka pulang ke rumah. Petangnya, mereka bermain dan hampir senja pulang ke rumah, bersiap untuk ke surau lagi.

Sepuluh malam terakhir lebih ramai daripada hari-hari sebelumnya. Kerana al-Quran sendiri mengistimewakan sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Selepas berbuka, anak-anak sibuk menyalakan pelita di sekitar surau dan kampung.

Orang dewasa pula sibuk meningkatkan amalan sunat nawafil, berzikir, dan bertafakur agar terbuka pintu langit untuk jiwa rohani mereka dikurniakan anugerah Lailatul Qadr, atau Lailah Mubarakah—malam yang diberkati dan malam yang diperingati — yang nilainya melebihi 1,000 bulan.

Demikianlah kehidupan masyarakat kampung zaman dulu sepanjang bulan puasa. Sekurang-kurangnya sejak dua dekad lalu, kita dapat lihat amalan yang hampir serupa di kawasan-kawasan bandar.

Namun, pada hemat saya, ada sedikit perbezaan dalam amalan umat Islam zaman dulu dengan zaman mutakhir. Orang zaman dulu lebih bersikap sederhana dan mengutamakan nilai-nilai ihsan dalam penghayatan kerohanian.

Sementara kita pula lebih mengutamakan aspek zahir, luaran, dan itqan atau ketekunan dan kesempurnaan dalam mengerjakan amal ibadat.

Artikel Berkaitan:

Justeru, suka saya ingatkan tentang kepentingan usaha penghayatan kerohanian yang berteraskan nilai-nilai ihsan, terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Jika kita soroti sejarah maka kita akan lihat betapa tradisi kerohanian menjadi salah satu paksi kebangkitan dan kelangsungan tamadun Islam zaman silam.

Ketamadunan tidak hanya berpaksikan kemajuan intelektual dan jasmani kebendaan semata-mata tetapi dipupuk dan ditampung oleh kekayaan tradisi kerohanian.

Bahkan sejarah telah bersaksi bahawa kejatuhan tamadun Islam zaman silam menyusul setelah kemerosotan tradisi kerohanian.

Menginsafi hakikat inilah, Kerajaan Selangor, sejak dua tahun lalu, telah menggerakkan usaha menyemarakkan penghayatan kerohanian Islam menerusi program Festival Turath Islami dan Darul Ehsan Berselawat.

Program yang digerakkan sepanjang tahun ini menghimpunkan barisan ulama muktabar dalam tradisi keilmuan dan kerohanian Islam zaman mutakhir.

Kita menggerakkan usaha menggali khazanah turath kerana kitab-kitab ini berakar umbi dalam tradisi kerohanian yang kaya dengan nilai-nilai ihsan.

Saya turut berbangga kerana usaha Kerajaan Negeri ini telah disambut baik oleh kerajaan persekutuan dengan pelaksanaan program pengajian Turath Islami peringkat kebangsaan di Putrajaya.

Ini mempamerkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan agenda Malaysia Madani yang menjunjung nilai-nilai pemerintahan Islam yang berpaksikan keilmuan dan kerohanian.

Program penghayatan kerohanian Islam yang kita laksanakan tidak hanya memberi manfaat kepada rakyat Selangor khususnya dan umat Islam di Malaysia umumnya.

Bahkan saya bersyukur kerana program Turath Islami dan Darul Ehsan Berselawat turut memberi manfaat kepada umat Islam dari luar negara.

Saya dimaklumkan bahawa program ini mendapat sambutan hangat daripada peserta yang datang jauh beribu batu seperti Mesir dan China serta dari negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

Demi meneruskan usaha menyemarakkan penghayatan kerohanian Islam, Belanjawan Negeri Selangor 2025 telah memperuntuk dana bagi pelaksanaan program baharu mahupun pertambahan peruntukan bagi mempertingkatkan program sedia ada.

Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM1 juta bagi penubuhan Akademi Turath Selangor demi menghidupkan semula tradisi pengajian turath yang diamalkan sejak turun-temurun di pusat-pusat pengajian pondok dalam wilayah Nusantara.

Dana berjumlah RM1.5 juta turut diperuntuk bagi penganjuran Festival Kesenian Islam yang bertujuan mengangkat kandungan kesenian Islam yang bermutu tinggi dan berakar umbi dalam tradisi kerohanian.

Seterusnya, Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM2 juta bagi penganjuran Festival Turath Islami 2025 yang bakal menampilkan barisan ulama muktabar dalam tradisi keilmuan dan kerohanian Islam zaman mutakhir dari Mesir, Yaman, Maghribi, Pakistan dan Indonesia.

Saya berharap agar umat Islam di Selangor dapat meraih manfaat dan berkat bertalaqqi di hadapan ulama-ulama besar mempelajari kitab-kitab muktabar dalam tradisi Ahli Sunnah Waljamaah.

Dalam hidup kita wajib berusaha, selangkah demi selangkah, untuk menjadi orang Islam yang benar-benar beriman dan berilmu menurut yang dikehendaki oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Tetapi janganlah pula kita membeza-bezakan sesama kita. Wajar untuk kita selalu mengingati firman Allah SWT, “Tujuh petala langit dan bumi serta segala isinya memuji-muja Keagungan dan puji-pujian-Nya yang tiada terhingga...” (al-Isra’: 44)

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik Menteri Besar Selangor sejak 2018

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!