X

Kindly register in order to view this article
!

'Takkan dapat beli UMNO Kelantan'

Jazlan (tengah) berbual bersama wakil media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-9 Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Royal Guest House malam tadi.
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan berpegang teguh dengan pendirian di bawah Muafakat Nasional dan tidak mungkin dapat 'dibeli' oleh mana-mana pihak walaupun situasi politik kini semakin kritikal.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO dan Pas tidak akan sesekali berganjak daripada ikatan Muafakat Nasional, sebaliknya akan cekal hati serta istiqamah dalam perjuangan.

"Saya yakin wakil rakyat BN dan Pas cekal hati. Ahli Parlimen semua cekal. Yang lompat sudah lompat, tiada istilah akan dibeli lagi sebab kita yakin semuanya berpegang teguh pada janji. Demi agama dan bangsa, tidak akan berganjak walau seinci pun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-9 Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Royal Guest House di sini malam tadi.

Menurutnya, UMNO Kelantan tidak sesekali akan memberi ruang kepada mana-mana pihak yang berhasrat merosakkan kesatuan dan penyatuan parti itu dengan Pas kerana gabungan berkenaan tekad akan mengharungi segala cabaran bersama.

Tambahnya, UMNO Kelantan tidak akan hilang fokus demi membuktikan muafakat tersebut diterima seluruh rakyat.

"UMNO Kelantan berdiri teguh bersama Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) walaupun UMNO dilempar dengan pelbagai tuduhan konon merompak kuasa dan sebagainya. Saya tidak faham kenapa UMNO dipersalahkan dalam hal ini dan kita sudah dua tahun menjadi pembangkang. Kami telah lemas di lautan, kenapa anda di daratan pula yang karam?

"Yang berpecah ini Pakatan (Pakatan Harapan), kita tidak pernah menghasut Pakatan untuk berpecah dan tidak pernah suruh mereka keluar parti. Inikan pula untuk minta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan.

"Apabila mereka hancur, mereka salahkan kita. Kita tidak pernah rancang meruntuhkan kerajaan sekarang. Bila Presiden dipanggil oleh Tun (Dr Mahathir), sekali lagi Presiden dilemparkan dengan pelbagai tohmahan konon kita mahu bentuk kerajaan pintu belakang. 'Rumah' sudah tiada pintu sebab 'rumah' sudah runtuh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada usaha mahu pecah belahkan UMNO: Annuar