MB Selangor lawat keluarga pelajar terbabit nahas di Jordan

Amirudin (kanan) menziarahi keluarga salah seorang pelajar Selangor yang dilaporkan terbabit kemalangan di Jordan.
Amirudin (kanan) menziarahi keluarga salah seorang pelajar Selangor yang dilaporkan terbabit kemalangan di Jordan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meluangkan masa menziarahi keluarga salah seorang pelajar Selangor yang dilaporkan terbabit kemalangan di Jordan.

Amirudin memaklumkan, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada bapa Fatimah Nuha Mustaza ketika lawatan ke kediaman keluarga pelajar itu di Keramat, di sini pada petang Ahad.

"Saya dimaklumkan Mustaza dan isteri akan berangkat ke Jordan malam ini (Ahad) untuk menguruskan anak mereka yang kini dirawat di salah sebuah hospital di Amman.

"Fatimah Nuha merupakan pelajar jurusan bahasa Arab di Universiti Mu'tah, Jordan dan beliau kini masih berada di hospital setelah menjalani pembedahan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini dilaporkan, empat pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara itu pada malam Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, dua daripada pelajar terbabit berasal dari Johor dan merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua pelajar dari Johor itu ialah Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurlkarnian @ Zulkarnian manakala dua lagi pelajar dari Selangor iaitu Fatimah Nuha serta Sumayya Azamuddin.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa berhubung kebajikan pelajar Selangor di luar negara.

"Di bulan Ramadan yang mulia ini mari kita sama-sama berdoa agar urusan kedua-dua pelajar dan keluarga mereka dipermudahkan dan diberi kesembuhan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!