Lantikan universiti perlu direformasi

SIDANG Parlimen pada 25 Februari 2025 telah memperlihatkan wujudnya krisis kepimpinan yang meruncing di universiti awam (UA).
Isu peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlaku baru-baru ini bukan sekadar isu individu, tetapi mencerminkan masalah yang telah lama berakar umbi dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Kontroversi yang berlaku di UKM hanyalah salah satu dari petanda kepada masalah atau krisis yang lebih besar di mana kepimpinan universiti di Malaysia kelihatannya tidak lagi ditentukan berdasarkan merit, integriti atau kecemerlangan akademik. Sebaliknya, ia banyak dipengaruhi oleh percaturan politik dan kepentingan tertentu.
Keadaan ini membangkitkan persoalan tentang peranan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang sepatutnya memastikan universiti dipimpin oleh individu yang berkelayakan melalui proses dan penilaian yang disediakan.
Persoalan selanjutnya adakah AKEPT sekadar pelengkap atau penyelamat kepada sistem pemilihan yang sudah rosak? Atau lebih parah kalau ia hanya menjadi pengesah atau penyadur kepada pilihan yang tidak tepat?
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah lama menjadi penghalang kepada kebebasan akademik.
Salah satu bahagian dalam AUKU menyatakan bahawa pelantikan Naib Canselor di universiti awam dilakukan oleh Menteri. Namun, diperhatikan kerap berlaku pemilihan tanpa mengambil kira merit calon.
Ini mengakibatkan UA terus dipimpin oleh pentadbir yang tidak efisien dan berintegriti serta mudah dipengaruhi oleh campur tangan politik, walaupun ia sering dinafikan sedemikian oleh pihak berkenaan.
Kontroversi yang berlaku di UKM juga telah mendedahkan bagaimana proses perolehan dimanipulasi, pemberi maklumat diketepikan dan sistem tadbir urus universiti dipinggirkan.
Jika sebuah universiti penyelidikan utama negara boleh terjebak dalam keadaan sebegini, bagaimana pula dengan institusi lain?
Jelas bahawa sistem pendidikan tinggi di Malaysia sedang berada di ambang krisis yang lebih besar seperti retak menanti belah, sekiranya tidak ditangani segera.
Satu pengajaran yang boleh diambil daripada kes UKM adalah perubahan mesti dilakukan jika kepimpinan di KPT dan ahli akademik mempunyai keberanian untuk melakukannya kerana mereka akur bahawa ada kepincangan yang sedang berlaku perlu ditangani segera.
Proses pelantikan kepimpinan universiti perlu diperbaharui, autonomi akademik perlu dikembalikan, akauntabiliti dan integriti harus diberikan penekanan serta penilaian bakat berdasarkan kelayakan dan kemampuan sebenar calon perlu dipastikan, bukannya ditentukan melalui hubungan politik calon.
Dalam memastikan perubahan berlaku, AKEPT yang kini berusia 17 tahun perlu bertanggungjawab dan berfungsi dengan lebih efektif untuk menginstitusikan pengurusan bakat kepimpinan berasaskan kompetensi yang komprehensif berlandaskan tahap integriti yang kukuh bagi memastikan pelantikan pemimpin universiti dilakukan berdasarkan merit.
AUKU juga perlu dipinda agar universiti mempunyai kebebasan untuk mentadbir sendiri tanpa campur tangan politik yang berlebihan. Autonomi bukan satu keistimewaan, tetapi satu akauntabiliti dan keperluan untuk menjamin kecemerlangan akademik.
Selain itu, budaya tidak bertanggungjawab dalam kalangan pemimpin universiti perlu ditangani segera.
Mereka yang terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa, atau kecuaian dalam pentadbiran mesti dikenakan tindakan tegas.
Ini termasuk memperkenalkan mekanisme perlindungan pemberi maklumat yang lebih kukuh bagi memastikan ketelusan dalam tadbir urus.
AKEPT dan KPT juga perlu memastikan bahawa pelantikan kepimpinan dilakukan tanpa dipengaruhi faktor kaum, jantina atau ideologi politik.
Hanya individu yang benar-benar berkelayakan harus diberikan tanggungjawab untuk menerajui universiti kita.
* Dr Rozilini Mary Fernandez-Chung ialah Felo Utama, Akademi Pendidikan Tinggi (Higher Education Academy, UK) Profesor Madya, University of Nottingham Malaysia, Ahli Seumur Hidup PenDaPaT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
