Zambry umum 7 langkah pengukuhan integriti di universiti awam

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan tujuh pembaharuan strategik dilakukan dalam Unit Integriti Universiti Awam (UIUA) di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya memandang serius isu integriti dan tatakelola di universiti awam (UA) dan meminta semua unit integriti di institusi itu diperkasakan.
“Antara langkah utama pembaharuan yang akan dilaksanakan ialah UIUA diletakkan di bawah Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagai entiti bebas bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan tugas dan pemantauan integriti.
“Selain itu, penambahan tenaga pakar dengan penglibatan pegawai dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan juruaudit bagi meningkatkan keupayaan penyiasatan dan pemantauan.
“Struktur UIUA juga akan diperkukuh dengan sekurang-kurangnya tujuh pegawai, selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Integriti Agensi Awam oleh SPRM,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini pada Khamis.
Tambah Zambry, Ketua UIUA juga perlu memenuhi syarat minimum Gred 12 (Gred 48) serta mempunyai pengalaman dalam tadbir urus, siasatan, dan pengurusan risiko.
Pegawai UIUA turut disarankan mengikuti Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) untuk meningkatkan kepakaran dalam pengurusan integriti.
“Laporan SPRM, Ketua Audit Negara dan syor penambahbaikan akan menjadi agenda tetap Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) di peringkat UA dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
“Kita juga akan menubuhkan Jawatankuasa Integriti LPU yang dianggotai oleh ahli LPU, eksekutif UA, wakil JPT dan KPT bagi menangani isu tatakelola melibatkan pengurusan tertinggi UA,” katanya.
Zambry turut menegaskan bahawa usaha menangani isu salah laku di UA bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi memerlukan komitmen kolektif daripada semua pihak termasuk pentadbir, akademik, pelajar dan pemegang taruh universiti.
Langkah-langkah itu katanya, bertujuan untuk memperkukuh budaya integriti, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan sistem pendidikan tinggi negara lebih telus dan bebas daripada rasuah serta penyelewengan.
Jelasnya, KPT akan terus mempergiat usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjadikan UA sebagai institusi yang berintegriti tinggi serta mampu melahirkan modal insan berkualiti yang menjunjung nilai-nilai ketelusan, kejujuran dan akauntabiliti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

