Empat langkah galak anak muda dampingi masjid

SHAH ALAM - Empat langkah boleh dilakukan termasuk menganjurkan program khusus seperti kelas kemahiran, aktiviti sukan, bengkel keusahawanan atau sukan elektronik di masjid untuk galak anak muda mendampingi masjid.
Imam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Ramadhan Subky berkata, tanggapan bahawa masjid hanya untuk golongan alim dan tua sering menjadi faktor yang menyebabkan anak muda kurang selesa untuk hadir ke rumah ibadah tersebut.
Melalui penganjuran program mesra belia itu, ujar beliau, boleh menarik minat generasi muda sekali gus membina hubungan positif dengan masjid.
“Masjid juga boleh menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan aktiviti dan dakwah santai yang sesuai dengan bahasa golongan muda seperti video pendek TikTok, audio siar dan poster interaktif.
“Sesi ceramah dan kuliah boleh diadakan dalam bentuk diskusi santai atau brisk walk yang membincangkan isu semasa berkaitan anak muda seperti kesihatan mental, hubungan sosial serta motivasi diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Pegawai Kanan Agama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah berkata, golongan muda juga boleh diberi ruang untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti masjid seperti gotong-royong, projek kebajikan masyarakat atau menjadi sukarelawan dalam penganjuran program.
Katanya, mereka juga perlu diberikan peluang untuk memberikan idea dan pendapat yang selari dengan perkembangan zaman kini.
“Ini akan menjadikan mereka rasa lebih dekat dengan komuniti dan sebahagian daripada masjid tersebut
“Dengan melaksanakan langkah-langkah berkenaan, masjid dapat menghapuskan persepsi lama dan menjadi pusat komuniti yang mampu menarik semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia,” ujarnya lagi.
Ulas beliau, era golongan muda masa kini amat berbeza berbanding generasi terdahulu susulan perkembangan teknologi semasa dan kemunculan media sosial yang semakin meluas. “Oleh itu, masjid perlu mengambil inisiatif untuk menyesuaikan diri dengan arus teknologi ini dengan membangunkan konsep masjid berteknologi tinggi.
“Sebagai contoh, menyediakan perkhidmatan wifi percuma dan aktiviti sukan elektronik yang mampu menarik minat golongan muda untuk mengunjungi masjid,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

